[VIDEO] Kanak-kanak, bayi main di belebas tingkap nyaris jatuh di Setapak


  • Tular
  • Selasa, 25 Okt 2022

Tangkap layar menunjukkan seorang kanak-kanak dan bayi sedang leka bermain di belebas tingkap di kondominium PV18 Residence, Setapak.

PENDUDUK kondominium di PV18 Residence Setapak, Kuala Lumpur, digemparkan dengan situasi ngeri apabila seorang kanak-kanak dan bayi dilihat bermain di belebas tingkap dari tingkat atas bangunan tersebut.

Kejadian itu yang dikongsikan di laman Facebook, memaparkan kelakuan kanak-kanak terbabit sedang leka bermain dari kawasan yang tinggi.

Meskipun tidak dapat dipastikan tingkat berapa kejadian itu berlaku, namun situasi itu tetap merbahaya memandangkan ia terjadi di sebuah perumahan kondominium.

Berdasarkan video itu, kanak-kanak dan bayi tersebut disyaki meloloskan diri dari jeriji sebelum bermain di belebas tingkap.

Punca sebenar kejadian masih belum diketahui namun difahamkan kanak-kanak tersebut berjaya diselamatkan selepas rakaman kejadian itu dilaporkan kepada pengawal keselamatan.

Di ruangan komen, rata-rata netizen melemparkan kecaman berhubung situasi itu.

“Macam mana boleh terlepas bayi dan kanak-kanak itu, ibu bapa tak pantau ke anak-anak, mana pergi tanggungjawab,” kata Nor Hidayah.

“Ya ALLAH berderau jantung dan darah aku tengok budak-budak itu main dekat situ, kalau jatuh macam mana risaunya,” jelas Nur Asyikin.

“Dekat tingkap ada kerusi atau meja ke sampai boleh terlepas budak-budak itu di belebas, ibu bapa zaman sekarang memang lalai,” tambah Ikmal Zikri.

Namun difahamkan, kedua ibu bapa kanak-kanak itu telah tampil memberikan penjelasan di ruang pejabat kondominium terbabit dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan berlaku.

Majoriti kini cuba mendapatkan komen pihak pengurusan kondominium berhubung kejadian itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram