[VIDEO] Nelayan berkeras tak langgar 'border', selamba halau bot penguasa Singapura patah balik


  • Tular
  • Selasa, 25 Okt 2022

Tangkap layar menunjukkan tindakan seorang nelayan yang menghalau dan mencerca bot penguasa Singapura di perairan sempadan negara.

TINDAKAN seorang nelayan menghalau bot penguasa Singapura mengundang perhatian warganet.

Kejadian itu difahamkan berlaku di sempadan Malaysia-Singapura pada Isnin apabila sebuah bot milik pemancing tempatan dikatakan memasuki perairan Singapura.

Susulan insiden itu, lelaki berkenaan dilihat lantang bersuara apabila menengking pegawai di dalam bot berkenaan sambil menafikan mereka telah menceroboh masuk perairan negara jiran terbabit.

Pada masa sama, beberapa individu lain dalam bot yang sama juga menegaskan mereka sekadar memancing di perairan itu.

Dikongsikan di laman TikTok, video itu menerima lebih 620,000 jumlah tontonan setakat ini.

Berdasarkan video tersebut, lelaki terbabit yang digelar 'Bang Mat' enggan berundur ketika didatangi bot tersebut sebaliknya terus mencerca pihak penguasa itu.

Tidak lama kemudian, bot tersebut dilihat mula mengalihkan laluan dan beredar meninggalkan kawasan terbabit.

Tindakan berani nelayan tersebut sekali gus mengundang pelbagai reaksi serta pujian daripada warganet.

“Memang terbaik la, berani kerana benar, dorang ingat sesuka hati boleh masuk sempadan perairan negara kita,” kata Amen Naqeb.

“Mantap, dia ingat ada bot besar boleh main redah je kawasan kita, sudahnya kena halau dengan nelayan, memang patut bekerja dengan martim la dia itu,” jelas Mohd Zakwan.

“Macam mana la Maritim jaga sempadan negara kita, senang-senang je bot luar masuk kacau tugas nelayan,” tambah Zuryantee.

Terdahulu, sekumpulan nelayan tempatan mendakwa mereka dihalau pihak berkuasa Singapura ketika memasang jaring udang di kawasan Pasir Laba, berhampiran Jambatan Link Kedua.

Laporan polis sudah dibuat berhubung isu tersebut dan kini pihak polis sedang menjalankan siasatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram