[VIDEO] Sesak di sempadan 'macam tin sardin' sempena cuti Deepavali, mujur pak cik 'cool' jadi hero kawal barisan


  • Tular
  • Sabtu, 22 Okt 2022

Tangkap layar menunjukkan situasi sesak yang berlaku di Kompleks Sultan Abu Bakar, Johor berikutan orang ramai yang mahu pulang ke tanah air sempena cuti Deepavali.

SUASANA tenang di Kompleks Sultan Abu Bakar, Iskandar Puteri, Johor, pada Sabtu bertukar kecoh apabila orang awam dilihat berpusu-pusu untuk pulang ke tanah air sempena cuti perayaan Deepavali.

Susulan sambutan perayaan Deepavali yang jatuh pada 24/10/2022 (Isnin), orang ramai khususnya warganegara yang bekerja di Singapura difahamkan enggan melepaskan peluang untuk pulang bercuti.

Situasi itu boleh digambarkan menerusi perkongsian di laman Facebook apabila Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) itu terlampau sibuk sehingga sukar untuk dikawal penguatkuasa yang bertugas.

Berdasarkan video itu, suasana terlampau sesak apabila ada pihak yang menolak dan menjerit ketika ingin melepasi pusat Imigresen tersebut.

Akibat terlampau ramai, pegawai Imigresen bertugas juga dilihat gagal mengawal keadaan apabila kebanyakannya enggan membuat barisan seperti yang diarahkan.

Di ruangan komen, rata-rata netizen mengecam tindakan orang ramai berhubung situasi terbabit.

Mujurlah, tindakan seorang lelaki yang mengawal dan mengarahkan orang ramai untuk beratur turut mencuri perhatian ramai apabila dia berjaya meredakan kekecohan yang berlaku.

Perbuatan itu yang dipaparkan menerusi perkongsian Facebook Aina Luna Salleh, menerima pelbagai reaksi daripada warganet.

“Pak cik ini lebih bagus daripada pihak pegawai yang bertugas, saya sangat kagum dengan tindakan dilakukannya,” kata Elijah Jonathan.

“Terima kasih pak cik, dia layak untuk terima penghargaan ataupun ucapan terima kasih daripada pihak Imigresen Johor Bahru, semoga jadi contoh yang baik untuk semua,” jelas Nani Roza Binte Jumaat.

“Kalau tiada pak cik itu mesti susah, saya pelik kenapa setiap hari mesti tangga eskalator akan rosak lagi-lagi ketika keadaan sesak macam ini, sepatutnya ada pihak yang membuat pantauan,” tambah Navin Ravi.

“Ini semua salah pihak kastam, bila sempadan ditutup semua tak nak kemaskini sistem, bila sempadan dah dibuka baru kelam kabut langsung tiada persediaan dibuat,” ujar Arasan Tamilking.

Individu berkenaan yang dianggap sebagai hero difahamkan menerima tepukan gemuruh daripada orang ramai susulan tindakannya yang sangat membantu dalam meredakan situasi sesak ketika itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram