SELEPAS berjaya mengesahkan slot Piala AFC 2023, Terengganu FC kini sedang sibuk melakukan persiapan seperti menawarkan lanjutan kontrak kepada ketua jurulatih, Nafuzi Zain bagi menghadapi saingan liga musim depan.
Bagaimanapun, jurulatih kelahiran Kelantan itu belum memberi kata putus, sebaliknya akan mengadakan perbincangan dengan pihak pengurusan Terengganu Football Club Sdn Bhd sebelum memutuskan sama ada mahu terus kekal membimbing skuad Penyu ataupun menimba pengalaman di tempat lain.
Selain tawaran kontrak lanjutan kepada Nafuzi, pihak pengurusan TFC juga difahamkan sedang mengintai beberapa pemain dari kelab luar dan tempatan untuk membarisi skuad Penyu pada musim depan.
Selepas pemain Melaka United, Sony Norde, bintang sensasi Indonesia, Ricky Kambuaya pula antara nama yang disebut akan menyertai pasukan Terengganu pada musim baharu nanti.
Khabar angin itu mula tersebar selepas akaun Twitter laman penyokong bola sepak Indonesia, Indotransfer membuat ciapan bahawa TFC berminat untuk mengambil khidmat Ricky.
Tangkap layar ciapan dari laman penyokong bola sepak Indonesia mengenai khabar angin Ricky ke TFC. — Twitter
Perkara itu dikuatkan lagi apabila pada awal tahun ini, pemain berusia 26 tahun itu menyatakan hasratnya untuk beraksi di luar Indonesia bagi mengembangkan kariernya.
Ricky merupakan antara pilihan utama ketua jurulatih skuad Garuda, Shin Tae-yong untuk tampil dalam kesebelasan utama dan dia juga merupakan watak penting yang membawa Indonesia mara ke perlawanan akhir saingan Piala AFF Suzuki.
Tambahan lagi, dalam saingan Piala AFF sebelum ini, figura berketinggian 1.77 meter tersebut dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan meskipun pada ketika itu Indonesia tewas kepada Thailand secara agregat 2-6.
Ricky dikenali sebagai pemain tengah yang mantap daripada segi fizikal badan serta ketenangannya mengawal bola dengan baik.
Bagaimanapun, khabar angin mengenai perpindahan Ricky ke TFC tidak disambut baik oleh penyokong dan berharap ia hanyalah sekadar berita palsu.
“Pemain itu kita selalu tengoklah live Indonesia main, tapi tak best langsung dia main..jadi pengurusan pasukan Terengganu tak payah ambillah orang itu,” komen penyokong TFC, Emyrol Amirol.
“Buat kerja tak tanya jurulatih. Main cable belakang. Nak intai sampai Indonesia. Belilah tiket sekeping untuk jurulatih ikut sekali intai,” tulis penyokong skuad Penyu, Afiq Mustaffa
Malah, ada juga penyokong yang sempat bergurau dengan menyamakan muka pemain itu dengan Azwan Omar atau lebih dikenali dengan panggilan Abang Viva.
“Habis itu siapa nak tolong mangsa banjir kalau abang Viva main bola,” komen penyokong, Kai Arifin.
Jika benar TFC ingin membawa masuk pemain tengah itu, Terengganu perlu membayar yuran perpindahan kerana Ricky masih mempunyai baki kontrak bersama kelabnya, Persib Bandung sehingga tahun 2024. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram