TRW bertandang ke Sarawak tanpa 2 tonggak, Rezal pesan jangan berasa 'kecil'


  • Podium
  • Selasa, 25 Okt 2022

Kelantan FC merupakan salah satu pasukan pilihan untuk mara dengan bergaya dalam kempen Piala Malaysia tahun ini. — Facebook/TRW Kelantan FC

SELEPAS menamatkan saingan Liga Perdana di tangga kedua, Kelantan FC bakal beraksi di liga teratas domestik di samping pasukan-pasukan gergasi tempatan.

Perubahan yang dibawa pemilik, Norizam Tukiman sememangnya memberi perbezaan besar selepas kelab tersebut sebelum ini terpalit dengan pelbagai isu dan kontroversi.

Oleh itu, pelbagai perancangan pastinya dilakukan sebelum tirai musim depan dibuka bagi membolehkan kepulangan mereka membuahkan hasil kepada penyokong setia The Red Warriors (TRW).

Namun, tumpuan mereka ketika ini pastinya tertumpu ke arah Piala Malaysia yang bakal bermula Rabu ini dengan pertemuan bersama Sarawak United FC.

Kejohanan itu pastinya dinanti-nantikan peminat tegar kelab Pantai Timur itu selepas kali terakhir menjulang trofi dalam saingan Piala FA 2013.

Mereka pastinya mengharapkan kesebelasan utama yang diturunkan ketika bermain di Stadium Negeri Sarawak nanti adalah yang terbaik bagi meningkatkan peluang kemenangan mereka.

Bagaimanapun, menurut ketua jurulatih, Rezal Zambery Yahya, pemilihan pemain masih belum dibuat sementara beberapa pemain yang mengalami kecederaan tidak akan dibawa untuk perlawanan pertama itu.

"Saya sedang memantau lagi perkembangan pemain-pemain saya dan masih belum buat pemilihan lagi untuk memilih siapa yang bakal dibawa ke Sarawak.

"Tetapi, seperti Syed Sobri yang mengalami kecederaan jangka masa panjang dan juga Nixon (Guylherme), mereka memang tidak dapat beraksi," katanya kepada Majoriti.

Syed Sobri sebelum ini boleh dianggap sebagai tonggak Kelantan FC apabila peranannya sebagai pemain tengah cukup penting sebelum dilanda kecederaan kira-kira Julai lalu.

296748738_7829462717124167_5359303547061929598_n

Nixon (kiri) tidak akan diturunkan dalam perlawanan pembukaan Piala Malaysia Rabu ini. Facebook/TRW Kelantan FC

Bagi Nixon pula, sumbangannya dilihat sedikit terhad musim ini setelah pemain kelahiran Brazil itu apabila dia difahamkan tidak diturunkan sejak pertengahan musim lalu.

Namun, perkara itu pastinya tidak mendatangkan kegusaran buat Rezal selepas pasukan itu mempunyai kualiti pemain yang bagus, seperti Nurshamil Abd Ghani dan beberapa pemain tempatan lagi.

Dalam masa sama, ketika ditanya mengenai persiapan dilakukan untuk berdepan kelab Borneo, ketua jurulatih berusia 44 tahun tersebut tidak mahu anak-anak buahnya berasa terlalu 'kecil'.

"Pada saya, pemain perlu menggandakan usaha mereka dan kekal fokus berdepan pasukan berpengalaman seperti Sarawak yang beraksi di Liga Super sudah tentu akan beri saingan dan tentangan hebat kepada kita.

"Tetapi, untuk pemain saya sendiri, janganlah terlalu merendah diri kerana mereka mempunyai kemampuan dan kelebihan tersendiri. Jadi, saya harap apa yang kita rancangkan menjadi supaya kita dapat membawa bekal selesa ke Kota Bharu nanti," katanya.

Sarawak United musim lalu menamatkan saingan liga di tangga ke-11 selepas mengharungi satu musim yang mengecewakan berikutan isu gaji dan kebajikan pemain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram