Aidil kata pernah 5 bulan tidak terima gaji, PJBM tunggu aduan rasmi


  • Podium
  • Khamis, 20 Okt 2022

Kontrak Aidil bersama Sang Kenari ditamatkan selepas hampir empat musim bersama pasukan itu. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

BARU-BARU ini, hangat diperkatakan di media sosial bahawa nasib yang menimpa bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Sharin Sahak adalah tidak wajar.

Selepas menamatkan saingan liga di tangga kelapan dan tersingkir di peringkat separuh akhir Zon Asean Piala AFC, ketua jurulatih kelahiran Singapura itu tidak disambung kontraknya untuk musim depan.

Tidak cukup dengan itu, ramai penyokong sejati skuad Sang Kenari meluahkan rasa tidak senang dengan pihak pengurusan apabila melihat sumbangan Aidil sukar untuk dipersoalkan, termasuk meraih kejayaan di pentas Piala FA 2017.

Namun, ada juga segelintir peminat tegar KDA FC yang mengharapkan khidmat Aidil ditamatkan seawal mungkin rentetan daripada keputusan mengecewakan di saingan liga dan Piala AFC.

Seorang penyokong menerusi Instagram @handredball menyuarakan perasannya dengan mengatakan bahawa ketua jurulatih itu bernasib baik kerana KDA FC masih mampu bersabar akan prestasi membimbangkan itu.

310967965_1829477777391031_33938132342535274_n

Aidil menerusi Instagram peribadinya membuat satu pendedahan mengejutkan.

Bagaimanapun, perkara berkenaan menerima respons mengejutkan daripada pengendali berusia 45 tahun itu dengan mengatakan bahawa dia pernah berdepan isu tunggakan gaji ketika bersama pasukan utara tanah air itu.

"Terima kasih negeri Kedah, anda perlu fikir apabila pasukan tidak terima gaji selama lima bulan, anda perlu bersyukur pasukan masih boleh beroperasi seperti biasa dan menamatkan kedudukan di tangga kedua," tulisnya.

Luahan tersebut menerima perhatian orang ramai, terutama penyokong bola sepak tempatan apabila kebajikan ketua jurulatih berpotensi itu tidak dijaga pihak pengurusan.

Untuk mendapatkan penjelasan lanjut akan perkara itu, Majoriti menghubungi Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B Sathianathan dalam mendapatkan pengesahan akan tunggakan bayaran itu.

"Setakat ini, seperti yang saya sudah hubungi pejabat saya, pihak kami tidak ada menerima sebarang aduan (daripada Aidil Sharin) akan perkara itu.

"Tetapi, mungkin dia ada tulis surat rasmi kepada KDA FC namun, kalau mereka tidak boleh mengatasi masalah, dia akan tulis kepada PJBM," katanya kepada Majoriti.

Jelas Sathianathan, terdapat kemungkinan Aidil akan menunggu untuk beberapa minggu sebelum membuat laporan rasmi kepada persatuan mengenai tunggakan bayaran gaji itu.

Dia turut menegaskan bahawa persatuan itu hanya boleh membantu mana-mana jurulatih untuk menulis kenyataan undang-undang bagi membolehkan tindakan lanjut boleh dikenakan.

sathianathan

Sathiantahan tidak menolak kemungkinan satu laporan dibuat Aidil kepada pihak pengurusan.

"Kita hanya bantu ahli-ahli persatuan kita untuk meyediakan afidavit untuk hantar ke status jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Kita akan juga laporkan ke pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) jika kita terima aduan," katanya.

Bagaimanapun, bekas pengendali Selangor FC dan Sarawak United FC itu melihat segala jenis aduan dibuat pihak kejurulatihan jarang diambil tindakan secepat mungkin.

"Dalam bola sepak di negara kita ini, saya nampak sekiranya pemain membuat aduan, tindakan akan segera dibuat kerana ketiadaan mereka akan menjejaskan liga.

"Tetapi, untuk jurulatih, saya lihat kelab-kelab sekarang sering mengambil jalan mudah kerana sekiranya mereka dibuang, pihak pengurusan boleh mengambil seorang yang baharu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram