MUSIM ini, Sri Pahang FC yang berdepan dengan masalah prestasi termasuk pertukaran jurulatih pada pertengahan musim, menamatkan kedudukan ketujuh dalam saingan Liga Super.
Skuad Tok Gajah gagal memanfaatkan kehadiran pemain-pemain import berkualiti seperti Manuel Hidalgo dan Steven Rodriguez untuk mengekalkan momentum kemenangan.
Krisis kejurulatihan dan pemain juga nampaknya sebagai salah satu punca di atas prestasi terumbang-ambing skuad kendalian Datuk Dollah Salleh itu.
Malah, sebelum ini, ada penyokong begitu lantang mempersoalkan keputusan Dollah yang asyik menurunkan muka sama termasuk Ashar Al Aafiz yang bermain di posisi pertahanan (right back - RB) meskipun dia tidak sesuai di posisi berkenaan.
Kehilangan Matthew Davis amat dirasai kerana tiada pemain boleh mengisi kekosongan yang ditinggalkan selepas dia ke JDT. — Facebook
Kehadiran kapten pasukan, Muslim Ahmad yang juga pemain pertahanan (centre back - CB) turut dilihat tidak dapat menyelesaikan isu ketempangan pasukan selepas tonggak utama, Matthew Davies keluar menyertai Johor Darul Takzim (JDT) musim ini.
"Pahang betul-betul perlu mencari RB yang baharu untuk hadap musim 2023 nanti.
"Takkan nak kerah Muslim main RB? Sedangkan itu bukan posisi dia. Ashar pula kita sendiri dapat nilai prestasi dia setiap kali diturunkan," ciap Twt Bola Pahang di Twitter.
Tambah laman Twitter itu, penyertaan Faizal Arif pada musim ini juga gagal meninggalkan impak kepada pasukan lagi-lagi jodohnya bersama Tok Gajah tidak panjang.
Difahamkan, kontrak pemain berusia 27 tahun itu dibatalkan atas persetujuan bersama antaranya dengan dia dengan pasukan, namun tidak dapat dipastikan punca pembatalan itu.
Jodoh Faizal Arif dengan skuad Sri Pahang FC tidak bertahan lama. — Facebook
"Pahang langsung tiada jawapan untuk selesaikan isu posisi berkenaan. Sehinggakan S.Kumaarhan yang main di bahagian serangan tu pula kena letak main RB.
"Ingat lepas dah datangnya Faizal Arif ni masalah dah selesai tapi sayang jodoh tak panjang.
"Dengan penambahan pasukan bagi saingan liga musim hadapan aku tak yakin langsung Muslim atau Ashar (jika masih kekal dengan pasukan) boleh selesaikan masalah posisi RB.
"Sedangkan musim 2022, bahagian kanan pertahanan Pahang ni lubuk teruk," katanya.
Hadi Amin membalas ciapan itu dengan menulis, Pahang tengah tunggu RB, Richard Chin dan CM (central midfielder), Kobe Jae Chong iaitu dua pemain muda berdarah kacukan yang pernah dikaitkan dengan kelab itu pada awal musim ini.
Untuk rekod, Richard Chin bermain untuk Charlton Athletic FC di EFL League One manakala Kobe memilih untuk kekal bermain di England.
Pemain kacukan Malaysia-England yang sebelum ini beraksi untuk pasukan Peterborough United memutuskan untuk beraksi bersama kelab AFC Telford United yang beraksi dalam National League North.
"Untuk sementara boleh cuba mana-mana RB Melaka United atau JDT, Mohd Azrif Nasrulhaq sebagai target jangka masa pendek," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram