Dalam diam rupanya penyokong TFC ada satu lagi calon sesuai ganti Faisal Halim


  • Podium
  • Isnin, 24 Okt 2022

Sumbangan Faisal Halim dalam skuad Sang Penyu sememangnya tidak boleh dipersoalkan. — Facebook/Terengganu FC

MENJELANG jendela perpindahanpada hujung tahun ini, pihak pengurusan pasti mengambil kesempatan itu untuk menambah kualiti pasukan dengan pembelian pemain sesuai.

Perkara itu juga pastinya ditunggu-tunggu peminat setia setiap kelab yang menantikan perubahan dan rombakan bagi membolehkan mereka beraksi dengan lebih baik musim depan.

Hal berkenaan dapat dilihat ketika ini dengan beberapa laman media sosial penyokong mula membincangkan perpindahan yang bakal berlaku meskipun tiada kenyataan rasmi daripada mana-mana pihak.

Antara khabar angin yang kuat bertiup adalah berkaitan penghijrahan penyerang sayap Terengganu FC, Faisal Halim dengan beberapa laporan mengatakan dia bakal menyertai Selangor FC.

Faisal sememangnya satu nama yang dikehendaki beberapa pasukan Liga Malaysia apabila sumbangannya bersama skuad Sang Penyu dilihat sebagai punca pencapaian mereka musim ini.

Enam gol dan sembilan hantaran yang dibuat dalam 20 aksi liga musim lalu membuktikan ketajamannya di hadapan pintu gol selain beberapa sumbangan lain dalam kejohanan Piala FA.

Tidak cukup dengan itu, kelincahan Faisal beraksi di padang juga menjadi aset utama pemain bersusuk tubuh kecil itu sehingga berjaya menarik minat pasukan lain.

Oleh itu, sekiranya benar ura-ura tersebut, kehilangan figura kelahiran Pulau Pinang ini pasti dirasai dengan penyokong mula panik untuk mencari pengganti yang sesuai di posisi sayap kiri.

WhatsApp Image 2022-10-24 at 12.55.07

Adakah Sony Norde bakal berhijrah ke Pantai Timur musim depan? Facebook/Melaka United FC

Namun, satu nama mula muncul sebagai pengganti yang sesuai untuk Faisal iaitu pemain Melaka United, Sony Norde apabila laporan mengatakan dia berdepan isu kontrak bersama majikannya itu.

Umum mengetahui bahawa skuad Hang Tuah musim ini berada dalam pergelutan selepas difahamkan terdapat tunggakan pembayaran gaji pemain dan staf kejurulatihan sehingga lima bulan.

Selain itu, status mengenai lesen pasukan itu untuk musim depan juga menimbulkan tanda tanya apabila pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan Melaka United masih belum menyelesaikan kerja-kerja penyerahan dokumen.

Jadi, tidak timbul sebarang keraguan sekiranya pemain pasukan, termasuk Norde sendiri mula mencari kelab baharu pada jendela perpindahan akan datang.

Meskipun pemain antarabangsa Haiti itu difahamkan sering diturunkan sebagai penyerang tengah, penyokong percaya dia juga mampu bermain di posisi sayap kiri.

Kemampuannya untuk melakukan larian pantas antara punca utama minat yang dipamerkan penyokong walaupun statistiknya di padang tidaklah membanggakan.

"Pada saya, dia bukanlah pengganti kepada Kpah (Sherman) tetapi Norde lebih kepada pengganti Mickey (Faisal Halim). Dia boleh bermain di bahagian kiri. Laju juga dia ini," kata Ali Abu Hassan.

"Kalau Sony masuk, dia mungkin akan menggantikan Kpah, tetapi mungkin juga dia akan ganti peranan Faisal Halim kalau betul dia akan keluar," kata Hisyam Ismail.

Norde sebelum ini pernah dikhabarkan menerima tawaran daripada empat pasukan 'misteri' Liga Malaysia di mana Terengganu FC dikatakan sebagai salah satu daripadanya.

Bagaimanapun, perkara tersebut masih berstatus khabar angin apabila skuad kendalian Nafuzi Zain memberi tumpuan penuh terhadap Piala Malaysia bermula 26 Oktober ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram