KELAB Liga 1 Thailand, Chonburi FC mengambil keputusan memecat penjaga gol muda, Worawut Sukuna selepas didesak penyokong berikutan insiden pada pagi Rabu.
Penjaga gawang berusia 23 tahun tersebut sebelum ini terlibat dalam kemalangan apabila dia dilaporkan memandu dalam keadaan mabuk sehingga meragut nyawa seorang wanita berusia 62 tahun.
Perkara itu diumumkan menerusi kenyataan rasmi kelab selepas sebelum ini hanya memberi penggantungan kepada Worawut, namun perkara itu jelas mengundang kemarahan orang ramai.
"Chonburi FC ingin menyatakan pendirian menentang tindakan Worawut Sukuna, penjaga gol kelab Chonburi FC tindakannya memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan kematian.
"Kami adalah kelab bola sepak yang bertujuan untuk menjadikan penduduk Chonburi memiliki tubuh badan yang sihat, bebas dari penyakit, dan tingkah laku mabuk dan memandu bercanggah dengan niat kita," tulis kenyataan itu.
Kereta dipandu Worawut merempuh kenderaan ditunggang mangsa. — Agensi
Selain itu, kelab itu turut merakamkan perasaan takziah kepada keluarga dan kenalan mangsa, Kanya Phonghasban serta bersedia menghulurkan bantuan kepada mereka.
Ketika kejadian, Worawut difahamkan memandu bersama dua orang rakannya sebelum hilang kawalan dan melanggar mangsa yang bersama pasangannya pada kira-kira pukul 4.30 pagi.
Dalam masa sama, pengurus pasukan, Sasis Singtothong turut bertindak untuk meletak jawatan bertujuan untuk melahirkan perasaan bertanggungjawab atas hal itu.
Menurutnya, pada malam kejadian, dia meluangkan masa bersama barisan pemain, termasuk Worawut, namun bertindak untuk meninggalkan majlis dengan lebih awal.
Ketika ini, pemain pasukan kebangsaan Thailand Bawah 23 (B-23) itu ditahan pihak berkuasa kerana didapati tahap alkohol dalam darah melebihi had yang ditetapkan.
Worawut merupakan seorang pemain yang dikatakan mempunyai masa depan cerah apabila mewakili beberapa pasukan utama Thailand seperti Chonburi FC dan Uthai Thani.
Musim ini, penjaga gol itu tampil dalam enam perlawanan liga dan hanya dibolosi sebanyak empat kali, sekali gus menjulang namanya sebagai salah seorang pemain masa depan buat skuad Gajah Perang. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram