Nilai pasaran menyamai Leandro, kelab elit Malaysia kena tebus kontrak RM1.3 juta untuk sambar bintang import jiran


  • Podium
  • Jumaat, 28 Okt 2022

Ricky dikenali sebagai pemain tengah yang mantap daripada segi fizikal badan serta ketenangannya mengawal bola dengan baik. — Agensi

KETIKA tumpuan terarah kepada aksi pertama saingan Piala Malaysia bermula Rabu, khabar angin perpindahan pemain kelab tempatan terus bertebaran dengan yang terbaharu, pemain tengah skuad kebangsaan Indonesia, Ricky Kambuaya dikaitkan dengan Terengganu FC (TFC).

Perkara itu dikongsikan oleh laman bola sepak Indonesia di Twitter, Indotransfer yang memaklumkan TFC dikhabarkan berminat untuk mendapatkan khidmat Ricky.

Pemain berusia 26 tahun itu masih mempunyai baki kontrak bersama kelabnya, Persib Bandung sehingga 2024.

Ini bermaksud, jika skuad Sang Penyu berhasrat untuk mengambil pemain tengah menyerang (AMF) Persib Bandung itu, TFC perlu membayar klausa perpindahan sebagai tebus kontrak.

ricky-kambuaya-masih-kalem-di-laga-timnas-indonesia-vs-curacao-tahan-diri-untuk-duel-persib-bandung-vs-persija-jakarta-okTbbF2zCa

Ricky pernah menyatakan hasrat untuk beraksi di luar Indonesia bagi memperkembangkan kariernya. — Agensi

Berdasarkan transfermarkt.com, nilai pemain yang berasal dari Sorong, Papua Barat itu mencecah 275,000 Euro (RM1.3 juta) pada musim ini berikutan prestasi yang cemerlang bersama Persib Bandung.

Angka tersebut menyamai nilai pasaran semasa Leandro Velazquez, tonggak AMF kelab elit selatan tanah air, Johor Darul Takzim (JDT).

Jumlah itu pastinya menuntut TFC mengeluarkan perbelanjaan besar bagi mendapatkan Ricky dan berisiko rugi jika prestasinya hanya sekadar indah khabar daripada rupa.

Memetik laporan Tribun Papua Barat, peluang Ricky untuk meninggalkan Persib Bandung dan menyertai TFC pada musim depan tidak mustahil boleh berlaku.

"Ricky boleh meninggalkan Persib Bandung sekiranya TFC berjaya menebus baki kontrak pemain tengah berusia 26 tahun itu di kelab The Blue Prince itu," lapor portal itu pada Khamis.

FWBTyG7akAAUAgB

Leandro antara pemain yang kerap diturunkan dalam kesebelasan utama JDT. — Facebook/ Johor Southern Tigers

Selain itu, dengan saingan Liga 1 Indonesia yang masih belum diputuskan setakat ini, Ricky yang dikenali kerana ketenangannya mengawal bola dengan baik, boleh meninggalkan Persib Bandung untuk bersama TFC.

"Dia boleh meninggalkan Persib Bandung jika masih tiada penjelasan mengenai Liga 1 2022," tambahnya.

Ricky merupakan antara pilihan utama ketua jurulatih skuad Garuda, Shin Tae-yong untuk tampil dalam kesebelasan utama dan dia juga merupakan watak penting yang membawa Indonesia mara ke perlawanan akhir saingan Piala AFF Suzuki edisi 2020.

Tambahan lagi, dalam saingan Piala AFF sebelum ini, figura berketinggian 1.77 meter tersebut dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan meskipun pada ketika itu Indonesia tewas kepada Thailand secara agregat 2-6. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram