'Mudah diramal, skrip sama' Penyokong boleh jangka pencapaian Kedah musim ini


  • Podium
  • Isnin, 18 Jul 2022

Kedah bakal melayan kunjungan Sarawak United di Stadium Darul Aman, Alor Setar . — Facebook KDA FC

KEDAH Darul Aman (KDA) FC sekali lagi dimalukan oleh pasukan Terengganu FC apabila tewas 1-2 dan kekalahan itu menyebabkan skuad Hijau Kuning gagal mengutip sebarang mata pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Jumaat lalu.

Sebelum ini, pasukan Sang Kenari juga tewas di tangan skuad Penyu pada aksi pusingan kedua Piala FA, sekali gus gagal untuk mempertahankan gelaran yang dimenangi pada 2019.

Saingan Piala FA tidak diadakan pada 2020 dan 2021 ekoran pandemik Covid-19, dan hanya diadakan semula pada musim ini.

Tersingkir dari saingan Piala FA dan kegagalan mengutip tiga mata sejak 17 April (menang 2-1 ke atas Penang FC) hanya menghilangkan mood penyokong Kedah yang berharap aksi yang lebih konsisten susulan kejayaan dalam kempen Piala AFC.

mardi

Antara aksi Kedah pada perlawanan menentang TFC baru-baru ini. — Facebook KDA FC

Rentetan kekalahan berturut-turut yang dialami anak buah Aidil Sharin Sahak, penyokong setia Hijau Kuning seperti boleh meramal nasib yang akan menimpa pasukan itu pada penghujung musim Liga Malaysia (Liga M).

Penyokong setia Hijau Kuning, Don K-Rul IZham berpendapat kekalahan KDA FC adalah perpunca daripada corak permainan yang ditunjukkan pasukan itu mudah dibaca oleh pasukan lawan.

Bayangkan sahaja, perlawanan menentang Terengganu itu adalah aksi ketujuh skuad Sang Kenari dibolosi di bawah 30 minit pertama dan ia membuktikan permainan Kedah mudah diramal oleh pihak lawan.

"Masalah yang sama lagi. Malas nak tulis lagi. Tidak akan nak tulis ulang-ulang benda yang sama kan. Satu benda sahaja Kedah ini, mudah diramal. Tidak susah pasukan lawan nak jangka apa akan pemain-pemain Kedah lakukan.

"Kelemahan Kedah berbanding pasukan seperti TFC ke, Johor Darul Takzim (JDT) ke, Sabah ke lebih kepada transisi. Kedah sangat-sangat perlahan dan mudah dibaca. Bayangkanlah 72 minit baru boleh satu on target. Oh lupa, ini perlawanan ketujuh Kedah bolos di bawah 30 minit," katanya.

Menurutnya, jika Sang Kenari kekal melakukan corak permainan sebegitu rupa, peluang untuk menduduki kedudukan terbaik dalam Liga Super adalah mustahil.

"Juara dah memang tak boleh. Naib juara pun samar-samar sekarang, makin jauh dah. Piala FA dah tersingkir. Hanya Piala AFC sedikit kejohanan yang berprestij sikit. Piala Malaysia nanti hanya ibarat bonus.

"Musim ni musim predictable untuk Kedah. Rasanya dah boleh agak apa pencapaian kelab musim ini nanti. Lepas ini lawan Sarawak United, pasukan yang dilanda masalah ketika ini," tambahnya.

Bagi memikat hati para penyokong semula, skuad di bawah kendalian Aidil Sharin Sahak itu perlu membuktikan boleh menang besar ketika menentang Sarawak United pada Selasa ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram