Makin tambah koleksi gol, sudah tiba masanya Fayadh jadi '1st Eleven' Kedah


  • Podium
  • Sabtu, 10 Sep 2022

Fayadh berjaya menggembirakan penyokong Kedah dengan jaringan yang diperolehi. — Facebook KDA FC

DUA kemenangan berturut-turut berjaya dicatat Kedah Darul Aman FC (KDA FC) selepas dikecewakan di pentas Asia serta kegagalan untuk mengulangi prestasi mereka dalam Liga Super musim lepas.

Selepas berjaya memenangi The Northern Derby, yakni menewaskan Penang FC 1-0, pasukan kendalian Aidil Sharin Sahak sekali lagi menceriakan para penyokong dengan menambah luka Melaka United FC (MUFC) dengan kemenangan bergaya 3-0 pada Jumaat.

Kemenangan yang berjaya dicatat hasil dua jaringan daripada pemain tengah, Mahmoud al-Mardi dan Fayadh Zulkifli memastikan tiga mata berjaya dibawa pulang.

Meskipun perhatian peminat lebih terarah kepada Al-Mardi, penyokong lebih gembira akan persembahan daripada 'ubi muda' yang semakin menunjukkan kemampuannya dalam Liga Malaysia, siapa lagi kalau bukan Fayadh.

305759639_502280475066641_3015685798518417416_n

Kemenangan yang berjaya dicatat hasil dua jaringan daripada pemain tengah, Mahmoud al-Mardi. — Facebook KDA FC

Meskipun pemain berusia 23 tahun itu pada mulanya diletakkan di bangku simpanan, namun Fayadh berjaya menggembirakan penyokong Kedah dengan jaringan yang diledaknya sebaik tampil sebagai pemain gantian.

Fayadh yang menyertai Sang Kenari daripada pasukan simpanan menggunakan kemampuan dan kelincahannya dalam perlawanan itu bagi memastikan dia berjaya mencatatkan gol kesembilan peribadinya musim ini.

Perkara ini jelas membawa keriangan kepada para penyokong yang pasti tidak mahu kehilangan permata bersinar tersebut apabila kehadirannya memberi impak yang besar kepada pasukan.

Dalam satu hantaran di Facebook, penyokong KDA FC, Don K-Rul IZham, berbangga dengan rekod jaringan pemain kelahiran Baling, Kedah yang sudah mencetak sembilan gol pada musim 2022 bersama skuad Sang Kenari.

WhatsApp Image 2022-09-10 at 4.42.02 PM

Fayadh berjaya mencatatkan gol kesembilan peribadinya musim ini. — Facebook KDA FC

"Musim paling baik untuk Fayadh Zulkifli, dia kini hanya memerlukan satu gol lagi untuk menjadikan jumlah jaringan kepada 10 gol.

"Dia tak perlu fikir rekod siapa dia akan menyamai atau pecahkan, biarlah dia mencipta satu rekod peribadi untuk diri dia iaitu rekod Fayadh Zulkifli.

"Dengan Kedah melalui musim agak mendatar, kiraan gol untuk Fayadh sedikit sebanyak memberi semangat untuk terus menulis tentang pasukan Kedah," tulisnya dalam hantaran tersebut.

Tambahnya lagi, dia berasakan bekas pemain Piala Presiden Kedah itu sudah bersedia untuk diturunkan dalam kesebelasan utama skuad kendalian Aidil Sharin musim depan.

"Walaupun lebih sesuai diturunkan pada babak kedua ketika ini, satu hari aku harap Fayadh akan betul-betul bersedia untuk menjadi pemain utama kepada pasukan Kedah.

"Mungkin itu akan menjadikan dia lebih baik dan berpeluang menambah koleksi gol atau mempelbagaikan lagi corak permainan dia.

"Sudah agak lama Kedah tidak melahirkan pemain lokal yang berjaya menjaringkan lebih dari 10 gol dalam satu musim, kali terakhir pada 2017 dulu.

"Secara keseluruhan, Fayadh sudah memiliki koleksi 17 gol sejak bersama Kedah," katanya.

Kemenangan Kedah itu meletakkan Sang Kenari berada pada kedudukan kelima Liga Super dengan 24 mata. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram