Kepingin striker macam Sadio Mane, Zamsaham bakal terbangkan import dari Afrika


  • Podium
  • Khamis, 13 Okt 2022

Penyokong Kelantan mengidamkan agar Norizam membawa pemain import dari Senegal seperti Mane (dua dari kiri). — Agensi

LIGA Perdana 2022 yang sudah melabuhkan tirainya pada awal Oktober menyaksikan Kelantan FC hanya mampu berpuas hati dengan gelaran naib juara selepas dibezakan lima mata daripada Johor Darul Takzim (JDT) II yang muncul juara.

Sudah boleh melupakan saingan Liga Perdana 2022, The Red Warriors (TRW) dilihat semakin bersedia untuk beraksi di Liga Super musim depan dengan pelbagai persediaan dilakukan oleh pihak pengurusan Kelantan.

Jika sebelum ini pemilik skuad TRW, Norizam Tukiman mengumumkan senarai rakan penaja pasukan pada musim depan, terbaharu dia menyatakan pula hasratnya untuk membeli pemain import bagi menghadapi Liga Super 2023.

Menerusi laman Facebook miliknya, Norizam atau juga dikenali sebagai Zamsaham bertanya soalan kepada penyokong TRW mengenai idea untuk membawa masuk pemain import dari Afrika.

WhatsApp Image 2022-10-13 at 3.58.19 PM

Tangkap layar hantaran Zamsaham.

“Kalau ambil import Afrika okaykah? Kalau okay saya akan terbang ke Afrika,” tulisnya menerusi hantaran Facebook pada Khamis.

Pertanyaan dari Zamsaham itu mendapat pebagai respons positif daripada penyokong yang mana mereka berharap agar cadangan itu dapat direalisasikan.

Rata-rata peminat skuad TRW mengimpikan agar Zamsaham membawa pemain seperti legenda Kelantan iaitu Dickson Nwakaeme dan bekas bintang Kedah, Marlon Alex James.

Marlon merupakan bekas pemain Kedah pada musim 2006-2008 dan merupakan tonggak utama Sang Kenari sehingga berjaya membantu pasukan menjadi juara tiga piala sepanjang dua musim berturut-turut.

Manakala, Dickson pula menyertai kancah Liga Malaysia pada 2013 bersama skuad Kelantan dan terus menjadi antara penyerang yang digemari di Kota Bharu.

DICKSON

Dickson (tengah) antara penyerang yang digemari oleh penyokong Kelantan FC. — Agensi

Bersama Kelantan, pemain itu berjaya membantu skuad Kijang Emas menjuarai Piala FA pada musim 2013 dan antara aksi terbaiknya ialah ketika membawa Kelantan ke final Piala FA 2013.

Malah, ada juga yang menanam impian dengan mencadangkan bintang dunia, Sadio Mane untuk menyarung jersi Kelantan pada musim depan.

“Sadio Mane bos, Insya-ALLAH musim depan gemilang,” tulis penyokong, Alif Safuan Zainal Abidin.

“Boleh kalau setaraf Marlon Alex James, Dickson. Memang padu bos Zam,” cadang penyokong TRW, Rumaino Ab Ghani.

“Boleh itu bos Zam, Perancis pun ramai pakai orang Afrika. Janji yang rajin nak kejar bola dan penyudah tajam,” kata penyokong, Mohd Alif Zikri.

Selain memberi cadangan pemain dari Afrika, tidak kurang ada penyokong yang mengharapkan agar pemilik TRW itu dapat merekrut pemain tempatan yang cemerlang.

Antara nama pemain tempatan yang diidamkan penyokong seperti bintang Johor Darul Takzim (JDT) iaitu Syafiq Ahmad, Hazwan Bakri dan Syazwan Andik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram