'No pressure', Balachandran tenang walau pemain cedera, akui belum atur strategi saingan Piala Malaysia


  • Podium
  • Isnin, 17 Okt 2022

Balachandran tidak berasakan terdapat cabaran dan tekanan besar buat anak buahnya dalam kempen Piala Malaysia. — Facebook/Sarawak United FC

KEMELUT pengurusan dan kewangan yang dihadapi Sarawak United FC menyaksikan pasukan itu menduduki tangga ke-11 dengan hanya 17 mata mampu dikumpul.

Pertukaran ketua jurulatih pada pertengahan musim dilihat tidak mengubah nasib skuad Ngap Sayot walaupun S Balachandran memulakan kempen kejurulatihan dengan baik.

Perubahan format Liga Malaysia membolehkan Sarawak United beraksi di liga teratas domestik, sekali gus membawa sedikit kelegaan buat penyokong yang terpaksa akur melihat kejatuhan pasukan kebanggaan mereka itu.

298639039_499889068804248_4304431148979669307_n

Penyokong Ngap Sayot pasti berharap persembahan lebih baik dalam kempen Piala Malaysia. Facebook/Sarawak United FC

Bagaimanapun, laporan daripada pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menegaskan mereka gagal memperolehi lesen untuk beraksi di liga musim depan.

Perkara itu semestinya mendatangkan kegusaran buat pasukan dan peminat tegar Sarawak United yang dikhuatiri memberi kesan kepada kempen Piala Malaysia mereka.

Namun, bagi Balachandran, anak-anak buahnya tidak mempunyai sebarang tekanan untuk mengharungi kejohanan itu selain percaya pasukannya beraksi dengan baik dalam setiap perlawanan.

"Bagi kami, tiada cabaran dan kami akan menempuh perlawanan demi perlawanan tanpa sebarang tekanan. Kami akan melakukan apa yang terbaik," katanya kepada Majoriti.

Sarawak United dijadualkan untuk bertemu naib johan Liga Perdana, Kelantan FC yang pastinya satu cabaran buat skuad Ngap Sayot dengan pasukan itu berjaya menampilkan persembahan terbaik musim ini.

Katanya, pasukannya masih belum melakukan persiapan untuk Piala Malaysia selepas beberapa pemain mengalami kecederaan ketika ini.

"Saya belum buat persiapan, saya bagi pemain saya rehat terlebih dahulu sebab ramai yang dilanda kecederaan. Jadi, kami mungkin memulakan sesi latihan pada Rabu ini," katanya.

Naib juara Liga Perdana 2021 itu mengalami satu musim yang sukar apabila pelbagai laporan mendapati pemain skuad itu tidak menerima gaji untuk beberapa bulan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram