HAJAT Kelantan FC untuk menjulang trofi Liga Perdana pada musim ini tidak kesampaian selepas hanya mampu menduduki tangga kedua di belakang sang juara, Johor Darul Takzim II (JDT II).
Meskipun bermula dengan persembahan cemerlang pada awal musim, namun lama-kelamaan aksi yang dipamerkan The Red Warriors (TRW) semakin merosot.
Susulan kegagalan tersebut, penyokong TRW berasa pihak pengurusan Kelantan perlu melakukan penambahaikan sebelum Liga Super 2023 bermula dan antara yang dicadangkan adalah membeli pemain import bermutu.
Hal ini kerana, penyokong setia TRW berpendapat antara punca Kelantan gagal untuk menjulang trofi Liga Perdana musim ini ialah kurangnya sumbangan daripada pemain import.
Misalnya ketumpulan penyerang import, Nixon Guylherme yang hanya merekodkan empat jaringan dalam saingan Liga Perdana musim ini.
Nixon hanya merekodkan empat jaringan dalam saingan Liga Perdana 2022. — Facebook/TRW Kelantan FC
Selain itu, kehadiran pemain import Jepun, Kenta Hara seperti tidak memberikan kesan positif di bahagian jenteran serangan.
Jadi tidak hairanlah apabila majoriti penyokong meluahkan kekecewaan mereka di media sosial dengan berpendapat barisan pemain import gagal membantu Kelantan pada musim ini.
“Pemain import pada musim ini tidak banyak beri sumbangan mungkin ini salah satu sebab gagal mendakap piala. Pengalaman mengajar untuk lebih baik semoga dipermudahkan segala urusan. Selamat maju jaya TRW,” komen penyokong, Mie.
Kenta berhijrah ke Kelantan FC pada jendela musim perpindahan kedua. — Facebook/TRW Kelantan FC
“Semoga dipermudahkan untuk musim depan. Pilih import yang betul-betul boleh main sahaja. Kekalkan semua pemain tempatan yang sedia ada,” tulis penyokong, Datoo Yie.
“Masalahnya import Jepun baru ambil itu jadi ke? Import lain jadi ke? Faham-faham sajalah,” komen Pokhey Pasir Pekan.
Sementara itu, bagi saingan Piala Malaysia ini Kelantan bakal menentang Sarawak United pada pusingan pertama.
Ketua jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya sebelum ini meletakkan sasaran menempatkan diri dalam kalangan lapan terbaik dalam pertembungan Piala Malaysia 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram