Kontrak bersama Penang FC tamat, pengganti Hilal El-Helwe mula dicari


  • Podium
  • Khamis, 20 Okt 2022

Hilal perlu kembali ke Jerman secepat mungkin atas faktor keadaan kesihatan bapanya. — Facebook

PEMAIN import Penang FC, Hilal El-Helwe mencapai kata putus dengan kelab untuk menamatkan kontraknya atas dasar persetujuan bersama dan tidak akan bersama pasukan itu dalam saingan TM Piala Malaysia 2022 yang dijadualkan bermula minggu depan.

Perkara itu dimaklumkan Penang Football Club (PFC) menerusi satu hantaran Facebook pada Khamis.

PFC memaklumkan, keputusan dibuat pemain dari Lubnan itu atas faktor keadaan kesihatan bapanya yang memerlukan dia kembali ke Jerman secepat mungkin.

"Dengan rasa dukacita, pengurusan mendoakan yang terbaik untuk kerjayanya di masa hadapan dan keberkatan buat keluarga," katanya.

Sebagai penyerang berpengalaman, Hilal sudah beraksi dalam 217 perlawanan dengan menyumbangkan 47 gol serta 28 bantuan gol.

Bagi aksi bersama skuad antarabangsa, Hilal sudah membuat 30 penampilan bersama Lubnan dan menyumbang sembilan gol.

Untuk Liga Super musim ini, Hilal membantu Penang FC dengan lima jaringan gol dan dua bantuan gol menerusi 19 penampilan.

Sebelum menyertai Harimau Kumbang, pemain berusia 27 tahun itu memiliki pengalaman bermain selama lima tahun di Jerman untuk TSV Havelse, VfL Wolfsburg II, dan Hallescher FC, sebelum berpindah ke Greece pada 2018 untuk bersama Apollon Smyrnis.

Selain itu, dia juga pernah menandatangani kontrak dengan SV Meppen, pada 2019 sebelum berpindah ke Timur Tengah pada 2021, menyertai Al-Faisaly di Jordan kemudian Ahed di Lebanon.

Rata-rata penyokong turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Hilal dan berterima kasih kepadanya kerana memberikan khidmat terbaik sepanjang bersama Penang FC.

"Dia bermain dengan baik musim ini. Tapi ada rezeki lebih baik dekat tempat baru. Semoga maju jaya, Hilal," tulis Syamil Shukri.

MI Muzaid juga mengucapkan selamat maju jaya kepada penyerang itu.

"Good luck Hilal... mungkin bukan rezeki dia nak perform dengan team PFC. Kena cari pengganti yang lebih baik season depan," katanya.

Pada masa sama, penyokong turut tertanya-tanya siapa pemain yang akan menggantikan Hilal pada saingan Piala Malaysia selain mengisi tempatnya dalam kuota import kelab musim depan.

"Habis la macam itu.. Kena cari orang yang bagus untuk Penang tahun depan," ujar Giridhar Giri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram