SETELAH beraksi bertahun-tahun untuk beberapa pasukan di liga bawahan Brazil, bek tengah, Leonardo da Silva Costa atau juga dikenali sebagai Leo Carioca kini dikhabarkan bakal dilamar kelab-kelab yang beraksi di Liga Malaysia.
Desas-desus kuat mengatakan bahawa pemain berusia 36 tahun itu bakal menyertai Penang FC apabila jendela perpindahan dibuka hujung tahun nanti.
Kehadiran pemain kental itu sudah pasti menjadi harapan buat skuad Harimau Kumbang yang menamatkan saingan Liga Super di tangga tercorot selepas satu musim mengecewakan.
Perkara itu berikutan satu hantaran di laman Instagram dua pemain Harimau Kumbang, Casagrande dan Endrick dos Santos yang seakan-akan memberi sokongan kepada Leonardo untuk berhijrah ke skuad utara itu.
Ketua jurulatih sementara Penang FC, Manzoor Azwira mungkin memerlukan bantuannya selepas Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan bahawa Liga Super 2023 akan disertai oleh 18 pasukan.
Ini sudah tentu memberi lebih banyak persaingan sengit buat Penang FC dengan penglibatan pasukan baharu ke dalam saingan itu selain cabaran lebih besar daripada pasukan yang cuba bangkit ketika ini.
Leonardo (kiri) mungkin akan menyertai Harimau Kumbang selepas ini. — Instagram
Musim lalu, pasukan utara tanah air itu merupakan salah satu pasukan dengan rekod pertahanan tercorot selepas melepaskan 45 gol dalam kesemua 22 perlawanan liga.
Perkara itu pastinya hendak ditambah baik bagi membolehkan nasib pasukan utara tanah air itu dapat berubah apabila musim akan datang membuka tirainya.
Sepanjang bertahun-tahun di negara Amerika Selatan itu, Leonardo pernah mewakili beberapa pasukan, seperti Real Brasilia di Serie C Brasil, sekali gus membolehkannya dikenali sebagai salah satu pertahanan kental.
Ketika ini, pemain tinggi lampai itu difahamkan tidak terikat dengan mana-mana pasukan selepas kali terakhir menabur bakti bersama kelab bawahan, Esporte Clube São José pada 2021.
Hal itu pastinya membolehkan pihak pengurusan Penang FC untuk menyambarnya tanpa perlu membuat satu pelaburan besar dan ia membolehkan lebih ramai pemain berkualiti mengisi pasukan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram