Kedah tamat kontrak Aidil, pengganti galas tugas berat


  • Podium
  • Isnin, 17 Okt 2022

Masa depan Aidil akhirnya terjawab selepas pelbagai tanda tanya timbul sepanjang musim ini. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

SELEPAS satu kempen yang kurang memberangsangkan, ketua jurulatih Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Aidil Sharin Sahak tidak akan diteruskan kontraknya bersama pasukan tersebut.

Perkara itu diumumkan pihak pengurusan Sang Kenari menerusi laman media sosial mereka dengan meluahkan penghargaan buat pengendali kelahiran Singapura itu.

"KDA FC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas segala sumbangan khidmat Aidil Sharin Sahak bersama pasukan Kedah sepanjang empat tahun di bumi jelapang padi.

"KDA FC mengucapkan selamat maju jaya dengan kerjaya kejurulatihannya masa depan dan percaya pengalaman kejurulatihannya cukup berharga bagi mana-mana kelab di peringkat liga domestik dan Asean," tulis kenyataan itu.

309273575_530105402284148_5566382170826991779_n

KDA FC mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak Aidil Sharin selepas empat tahun. Facebook/KDA FC

Sepanjang tempoh tersebut, Aidil berjaya menjulang kejayaan apabila muncul juara Piala FA 2019 serta muncul sebagai naib juara liga sebanyak dua kali pada 2020 dan 2021.

Bagaimanapun, musim ini, masalah dalam pasukan menyaksikan pasukan itu gagal mengulangi pencapaian itu apabila menamatkan saingan liga di tangga kelapan dan tersingkir daripada kejohanan Piala AFC di peringkat separuh akhir Zon Asean.

Kekosongan itu bakal diisi penolong ketua jurulatih, Victor Andrag yang bakal memegang jawatan sebagai pengendali sementara bagi kempen Piala Malaysia hujung bulan ini.

Sebelum ini, kuat khabar angin bertiup di media sosial melaporkan bahawa ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain bakal memegang jawatan itu untuk musim depan.

Namun, perkara itu masih tiada pengesahan daripada mana-mana pihak apatah lagi Nafuzi berjaya merekodkan prestasi cemerlang bersama skuad Sang Penyu ketika ini.

Nafuzi berjaya membawa Terengganu FC menamatkan saingan di tempat kedua dalam saingan Liga Super dan membawa skuad itu ke saingan akhir Piala FA. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram