Senarai pemain baharu Kedah mula berlegar, 2 nama bintang sudah diduga


  • Podium
  • Rabu, 19 Okt 2022

KDA FC dikatakan membuat rombakan besar-besaran untuk membentuk pasukan lebih berwibawa, serasi, tangkas dan bijak musim depan. — Facebook/KDA FC

PENGUMUMAN penamatan khidmat Adil Sharin Sahak sebagai ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA FC) pada Isnin lalu sememangnya sudah dijangka majoriti peminat Hijau Kuning musim ini.

Mana tidaknya, musim ini menyaksikan pasukan menamatkan saingan liga di tangga kelapan dan tersingkir daripada kejohanan Piala AFC di peringkat separuh akhir Zon Asean.

Kegagalan demi kegagalan dialami pasukan Hijau Kuning, pihak pengurusan bukan hanya membuat keputusan untuk membawa jurulatih baharu, malah akan membuat banyak pembaharuan.

Seperti yang dikatakan oleh penaung KDA FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar bahawa banyak rombakan akan dilakukan untuk membentuk pasukan lebih berwibawa, serasi, tangkas dan bijak.

Bagi membentuk pasukan yang mampu memberi saingan sengit pada musim depan, rombakan pemain antara perkara penting akan dilakukan Sang Kenari dan secara tidak langsung menyaksikan Kedah berbelanja besar nanti.

Malah, difahamkan satu senarai mengandungi nama pemain-pemain baharu Kedah termasuk beberapa bintang kelab gergasi Liga Super yang dikatakan akan ke Stadium Darul Aman mula berlegar dalam kalangan penyokong setia Hijau Kuning.

Antara nama pemain yang sudah disebut-sebut kebelakangan ini ialah pemain Terengganu FC, Faisal Halim dan Faiz Nasir selain bintang import skuad Penyu, Tchetche Kipre turut ditagih khidmatnya dalam KDA FC.

faisal kipre

Faisal (dua dari kiri) dan Kipre (kiri) menjadi antara pemain penting TFC pada musim ini. — Facebook/TFC

Kipre sebelum ini merupakan bekas bintang Kedah pada musim 2020-2021 dan jika berhijrah pasti tiada masalah untuknya kembali menyesuaikan diri.

Bagi Faisal dan Faiz pula, penghijrahan mereka ke Kedah dikaitkan dengan ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain yang difahamkan akan mengambil posisi Aidil Sharin pada musim depan.

Selain itu, tiga bintang Petaling Jaya City FC turut dikatakan bakal diborong oleh Sang Kenari iaitu pemain sayap, Kogileswaran, Ruventhiran Vengadesan termasuklah penjaga gol kebangsaan, Kalamullah Al-Hafiz.

Tindakan Kedah untuk mengambil bintang PJ City mungkin membawa kebaikan buat ketiga-tiga pemain itu kerana difahamkan The Pheonix akan dibubarkan musim depan susulan kesukaran mendapatkan dana dan kos yang meningkat.

PJ CITY

Dikhabarkan sekurang-kurangnya dua pemain PJ City dalam Kedah pada musim depan. — Facebook/PJ City

Lebih menghangatkan suasana kemasukan muka-muka baharu Sang Kenari, dikhabarkan beberapa bekas pemain Kedah juga akan menyarung kembali jersi Kedah musim depan.

Bagaimanapun, identiti bekas pemain Sang Kenari itu masih belum dipastikan, oleh itu, kita tunggu pengumuman rasmi daripada pihak pengurusan KDA FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram