BARU sahaja mengucapkan selamat tinggal kepada Ketua Jurulatih, Aidil Sharin Sahak, Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sekali lagi memutuskan untuk menamatkan kerjasama dengan jurulatih penjaga gol berpengalaman, Khairul Azman Mohamed.
Lebih menyedihkan buat peminat sukan bola sepak tempatan, bekas penjaga gol Pahang, Sabah dan skuad kebangsaan berusia 54 tahun itu bukan sahaja akan meninggal pasukan Kedah, malah dunia bola sepak secara keseluruhannya.
"Pengurusan KDA FC mencapai persetujuan bersama untuk meneruskan haluan berbeza dengan Khairul Azman Mohamed, jurulatih penjaga gol KDA FC berkuatkuasa hari ini (Khamis).
"Keputusan ini diambil atas pilihan beliau yang turut mengambil langkah seiring pengemudi pasukan sebelum ini, Aidil Sharin Sahak. Kami berharap dengan pengorbanan dilakukan dapat memberi angin baharu kepada penggantinya dalam meniup semangat para pemain Hijau Kuning untuk berjuang dalam aksi Piala Malaysia 2022.
Khairul Azman merupakan individu kedua meninggalkan KDA FC.
"Khairul Azman yang mesra dipanggil Bro, merupakan bekas penjaga gol kebangsaan berpengalaman di posisi tersebut.
Diserap dalam barisan kejurulatihan Sang Kenari sejak musim lalu dan bergandingan dengan Aidil Sharin sehingga muncul naib juara Liga Super 2021 seterusnya beraksi di Piala AFC tahun ini sehingga layak ke peringkat separuh akhir Zon ASEAN," menurut kenyataan KDA FC di laman media sosialnya pada Rabu.
Tanggungjawab Khairul Azman kini digalas penolong jurulatih penjaga gol Kedah, Abd Hadi Hamid bagi memantapkan persiapan pasukan menjelang sepak mula perlawanan timbal balik pertama pusingan 16 Piala Malaysia 2022 menentang Negeri Sembilan FC di Alor Setar pada Sabtu.
"Beliau turut menyatakan Sang Kenari adalah pasukan terakhir dan akan bersara dari kerjaya professional dalam dunia bola sepak," kongsi kenyataan itu lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram