Kad merah Sharul Nazeem jejas strategi Selangor - Cheng Hoe


  • Podium
  • Ahad, 16 Okt 2022

Aksi Selangor FC ketika bertemu Penang FC dalam saingan akhir Liga Super pada Sabtu. — Facebook

MOMENTUM kemenangan Selangor FC selepas diambil alih Tan Cheng Hoe tersekat selepas hanya seri 1-1 menentang Penang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada malam, Sabtu.

Bekas jurulatih kebangsaan itu mengakui beraksi dengan hanya 10 pemain bukan satu perkara yang mudah memandangkan ia sedikit sebanyak menjejaskan permainan pasukannya.

Bagaimanapun pengendali berusia 54 tahun itu enggan menyalahkan mana-mana pemain sebaliknya memuji aksi yang ditampilkan pasukannya yang berjaya menampilkan corak permainan yang positif pada perlawanan tersebut.

“Saya rasa kad merah tersebut sedikit sebanyak menjejaskan perancangan strategi kita. Tetapi sebagai jurulatih saya tak salahkan Sharul Nazeem.

“Beliau masih muda banyak lagi kena belajar daripada situasi seumpama itu," katanya ketika ditemui pemberita selepas perlawanan.

Dalam pada itu, Cheng Hoe berkata, permukaan padang yang tidak berada dalam keadaan baik susulan hujan berterusan turut menyumbang kepada kegagalan pasukannya untuk bermain dengan baik pada aksi tersebut.

“Keadaan padang juga menyukarkan pasukan untuk mengharungi perlawanan tapi saya nampak mereka masih mengekalkan corak permainan dan memberi kerjasama yang baik dalam pasukan,” katanya.

Sementara itu, Penolong Ketua Jurulatih Penang, Manzoor Azwira Abd Wahid yang kembali mengendalikan skuad Harimau Kumbang itu nyata gembira dengan kesungguhan yang ditampilkan pemain-pemainnya pada perlawanan tersebut.

Jelasnya, beliau yakin anak buahnya itu mampu bangkit pada Piala Malaysia nanti yang bakal membuka tirainya tidak lama lagi.

“Saya bersyukur kerana mendapat satu mata dan saya rasa kagum dengan kesungguhan pemain. Dari segi corak permainan, memang kami tidak akan dapat apa yang kami rancang memandangkan keadaan padang yang tidak cantik.

“Bagaimanapun, saya lihat mereka tetap bermain bersungguh-sungguh sehingga ke minit terakhir, ini benda yang positif untuk pasukan bagi persediaan untuk Malaysia Cup dalam tempoh 10 hari saja lagi,” ujarnya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram