'Taktik lama', Penyokong Penang tidak 'kebuloq' masuk percuma, jurulatih baharu


  • Podium
  • Khamis, 13 Okt 2022

Penyokong Harimau Kumbang mula berasakan nasib pasukan itu tidak akan berubah dalam masa terdekat. — Facebook/Penang FC

PENANG FC bakal menamatkan musim yang mengecewakan di tempat tercorot Liga Super selepas hanya berjaya merekodkan dua kemenangan selain mengumpul 10 mata setakat ini.

Pertukaran ketua jurulatih pada pertengahan musim kelihatan gagal untuk mengubah nasib pasukan yang hanya perlu bergantung kepada takdir dalam menentukan nasib mereka.

Perubahan struktur liga daripada pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memberi sedikit kelegaan apabila ia membolehkan skuad Harimau Kumbang untuk kekal beraksi di liga teratas domestik.

Namun, penyokong pastinya mengharapkan terdapat rombakan besar yang dibuat ke atas pasukan daripada pihak pengurusan bagi membolehkan pasukan itu bersaing dengan lebih baik bagi musim akan datang.

Bagaimanapun, perkara itu seakan-akan sukar untuk dicapai apabila mereka bakal berdepan pasukan yang sedang melonjak naik, Selangor FC dalam perlawanan penutup tirai liga.

Perlawanan itu pastinya tidak akan berjaya menarik minat peminat setia Harimau Kumbang apabila mereka berasakan terlalu banyak kekecewaan yang sudah dialami sepanjang tahun ini.

Tetapi, dalam usaha untuk memastikan Stadium Bandaraya, Pulau Pinang bakal dibanjiri Sabtu ini, pihak pengurusan Penang FC menyatakan bahawa penyokong tidak akan dikenakan bayaran.

Tidak cukup dengan itu, pihak pentadbiran pasukan juga mengumumkan satu berita yang ditunggu ramai apabila bekas ketua jurulatih, Manzoor Azwira bakal mengendalikan perlawanan akhir musim itu.

9f51ce9b7186b5758019fa093cb90581944cb741 (1)

Manzoor Azwira pernah menjulang trofi Liga Perdana bersama Penang FC. Agensi

Manzoor sememangnya satu figura yang cukup terkenal dalam kalangan penyokong apabila dia pernah mengemudi pasukan itu kembali ke Liga Super pada 2020.

Namun, perkara itu sekali lagi seakan-akan gagal mendatangkan keghairahan selepas mereka berasakan ia hanyalah satu helah dibuat bagi menutup kekecewaan penyokong untuk sementara waktu.

Bagi Mohammad Ikhwan A Wahab, dia berpendapat itu cumalah satu 'taktik' turun-temurun yang sering digunakan pihak pengurusan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

"Taktik lama, selepas ini satu demi satu yang mereka akan lakukan kerana mereka seperti sudah kehabisan idea untuk menarik penonton ke stadium. Cuba ambil hati sahaja tu.

"Nanti, apabila ketua jurulatih sudah serasi dengan pasukan, tiba-tiba ditukarnya pula kerana mahu mengubah nasib dengan sesuka hati kononnya," kata penyokong itu.

Perkara itu turut disokong Nuqman Akim Akim yang melihat pelantikan Manzoor Azwira sekali pun tidak akan mencetuskan perubahan selagi tiada pengambilan wajah-wajah baharu pada jendela perpindahan akan datang.

"Bagi aku, tukarlah ketua jurulatih macam mana sekalipun, memang macam itu sahajalah hala tuju pasukan. Tolonglah bermain untuk kami dengan tunjukkan semangat dan aksi-aksi menarik.

"Penyokong yang sanggup turun ke stadium pada Sabtu malam ialah mereka yang tidak henti-henti memberi semangat walaupun terpaksa meredah hujan dan panas," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram