KEMENANGAN Johor Darul Takzim (JDT) ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) memastikan rekod tanpa kalah skuad Harimau Selatan dalam liga masih belum dileburkan mana-mana pasukan.
Meskipun ketinggalan pada babak pertama, barisan serangan JDT sememangnya sukar untuk dibendung setelah mereka berjaya menjaringkan empat gol dengan Bergson da Silva dan Syafiq Ahmad masing-masing menjaring dua gol peribadi.
Namun, keghairahan perlawanan itu dicemari keputusan pengadil perlawanan, Mohd Hasrul Mohd Amin yang menghadiahkan sepakan penalti pada awal permulaan separuh masa kedua.
Keputusan itu dibuat selepas mendapati terdapat tampanan menggunakan tangan daripada pemain pertahanan Sang Kenari, Loqman Hakim Marzuki selepas bola itu melantun daripada tubuh badannya.
Sepakan yang diambil Bergson itu menjadi titik permulaan kebangkitan JDT, sekali gus meranapkan impian skuad Sang Kenari untuk meraih sebarang mata dalam empat perlawanan terakhir.
Perkara itu jelas menerima pelbagai respons peminat bola sepak tempatan, lebih-lebih lagi penyokong KDA FC, yang berasakan keputusan itu berat sebelah dengan meluahkan kekecewaan itu menerusi media sosial.
Bagi pemerhati bola sepak, Zainal Abidin Rawop, dia turut berpendapat keputusan untuk menghadiahkan tendangan penalti tersebut adalah betul, tetapi menimbulkan keraguan.
Pemerhati bola sepak tanah air, Zainal Abidin Rawop. — Facebook/Astro Arena
"Sebenarnya keputusan untuk memberi penalti itu adalah agak 'soft', tetapi pengadil bertindak untuk memberikannya. Jadi, tidak boleh untuk mempertikaikannya kerana itu adalah keputusan daripada pengadil.
"Andai kata kalau ada penggunaan teknologi video bantuan pengadil (VAR) dalam Liga Malaysia, berkemungkinan besar akan dikaji dan dirujuk semula," katanya kepada Majoriti.
Bagaimanapun, kata Zainal Abidin, teknologi itu dilihat tidak akan dipraktikkan dalam landskap bola sepak tempatan dalam masa terdekat dan berpendapat keputusan tersebut adalah muktamad.
Teknologi VAR difahamkan bakal digunakan pertama kali di perlawanan akhir Piala AFC antara Kuala Lumpur City (KL City) FC dan kelab Oman, Al Seeb di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Oktober nanti.
Dalam masa sama, ketika ditanya mengenai tempoh penggantungan Bergson da Silva, dia turut menegaskan bahawa hal itu perlu diambil berat oleh jawatankuasa badan pengurusan bola sepak negara.
Bergson sebelum ini dilayangkan kad merah ketika bertemu KDA FC. — Facebook/Gawang.my
"Inilah juga perkara yang perlu diberikan perhatian oleh Jawatankuasa Disiplin Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana mereka perlu membuat keputusan dengan cepat, tetapi mengikut peraturan permainan.
"Jika mengikut peraturan permainan (rule of game) hanya digantung satu perlawanan, tetapi jika jawatankuasa displin menerima laporan daripada pengadil yang mengatakan tindakan Bergson melampau, dia boleh dikenakan hukuman lebih berat," katanya.
Namun, jelas Zainal Abidin, ketiadaan perbincangan lanjut akan perkara tersebut, penggantungan ke atas penyerang kelahiran Brazil itu hanya untuk satu perlawanan.
Penjaring terbanyak Liga Super itu sebelum ini dilayangkan kad merah ketika beraksi di Stadium Darul Aman selepas didapati melakukan kekasaran ke atas pemain KDA FC, Rodney Calvin. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram