Syafiq Ahmad dedah belum terima tawaran atau dihubungi Perak FC


  • Podium
  • Rabu, 12 Okt 2022

Syafiq (kiri), mahu berikan fokus bersama JDT hingga ke penghujung musim. — Facebook/MFL

WIRA Johor Darul Takzim (JDT), Syafiq Ahmad masih belum mahu memikirkan soal khabar angin yang mengatakan Perak FC berminat untuk mendapatkan khidmatnya pada musim depan.

Penyerang berusia 27 tahun ini menegaskan, fokusnya kini hanya untuk membantu skuad Harimau Selatan menamatkan baki saingan Liga Super.

Syafiq berkata, pihaknya juga masih belum menerima sebarang tawaran rasmi dari pihak pengurusan Perak FC berkenaan perkara tersebut.

Justeru katanya, tidak ada sebarang komen lanjut yang boleh diberikan berhubung perkara berkenaan kerana mahu memberikan sepenuh perhatian bagi membantu JDT menamatkan baki saingan Liga Super musim ini.

“Alhamdulillah, saya masih lagi ramai peminat, apa pun buat masa sekarang mungkin atas media sosial sahajalah dan saya pun tak ada jawapan untuk (perkara) itu.

“Lagi pun sekarang masih dalam liga untuk musim ini dan oleh itu fokus saya adalah untuk pasukan JDT,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan berdepan Kedah Darul Aman (KDA FC) di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Selasa.

Minggu lalu, pengendali Perak FC, Lim Teong Kim tanpa berselindung mendedahkan dia berminat membawa Syafiq untuk beraksi bersama skuad kendaliannya itu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M), musim depan.

Sementara itu, Syafiq mengakui gembira kerana berjaya menjaringkan dua gol bagi membantu kemenangan 4-1 JDT ke atas KDA FC.

Katanya, kedua-dua gol berkenaan juga diharap dapat membantu meningkatkan lagi keyakinan dirinya untuk terus membantu kejayaan skuad Harimau Selatan itu pada masa akan datang.

“Alhamdulillah, syukur dapat bantu kemenangan pasukan dengan menjaringkan gol. Sebagai pemain, apabila diberikan peluang bermain, ia macam (dapat) emas, jadi kena buktikan sesuatu dan tunjukkan keputusan 'coach' untuk menurunkan kita adalah tepat.

“Lagi pun, sebagai penyerang, memang menjadi tugas saya untuk menjaringkan gol, sebelum ini Arif Aiman pun pernah jaringkan hatrik dan ini buktikan kita tidak ketandusan penyerang tempatan.

“Secara keseluruhannya, di JDT ini, tak kisahlah sebagai pemain tempatan, pemain naturalisasi, pemain import, semuanya boleh menjaringkan gol,” ujarnya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Syafiq Ahmad, JDT, baki Liga Super