Enggan kibar bendera putih, penyokong Sabah laung semangat tidak gentar berdepan JDT


  • Podium
  • Rabu, 12 Okt 2022

JDT berjaya menundukkan Sabah FC di Stadium Likas, Sabah pada awal musim lalu. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

DALAM satu aksi mendebarkan di Stadium Darul Makmur pada Selasa, pasukan di tangga kedua, Sabah FC berjaya membawa pulang tiga mata berharga selepas berusaha keras di gelanggang pihak lawan.

Jaringan penyerang Sri Pahang FC, Steven Rodriguez pada minit ke-88 seakan-akan mengesahkan kekalahan keenam buat anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee.

Namun, sikap tidak mudah berputus asa daripada skuad Sang Badak memastikan kemenangan berpihak kepada mereka menerusi jaringan lewat Dominic Tan dan Park Tae-su.

Kemenangan itu sekali gus mengekalkan kedudukan mereka dalam carta liga serta terus menghidupkan api kemaraan buat Sabah FC dalam mengejar slot kelayakan ke Piala AFC 2023.

Meskipun tidak boleh dinafikan tekanan daripada Terengganu FC dan Negeri Sembilan FC mengancam keselesaan mereka ketika ini, kemenangan itu membolehkan mereka menarik nafas lega buat seketika.

Tetapi, skuad Sang Badak termasuk penyokong dan staf kejurulatihan pasti akan menyedari ujian getir yang bakal mereka hadapi dalam perlawanan penutup liga.

Pertemuan bersama juara Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Johor merupakan satu cabaran besar buat pasukan itu untuk layak ke pentas Asia tahun depan.

309441416_3361270654120044_5798055919310966457_n

Kemenangan ke atas Sri Pahang FC membolehkan Datuk Ong Kim Swee menarik nafas lega. Facebook/Sabah FC

Selepas mencatatkan satu musim tanpa sebarang kekalahan, skuad Harimau Selatan semestinya tidak mahu melihat rekod tersebut lebur di tangan Sabah FC.

Tetapi, bagi penyokong The Rhinos, mereka tidak mahu mengibarkan bendera putih terlebih dahulu selain mempercayai kebolehan pemain atas padang ketika ini.

Seorang penyokong, Jonelson Ecah percaya akan kemampuan pasukan itu walaupun tidak menafikan bahawa JDT bakal menjadi penentu buat masa depan mereka..

"Harap menanglah Sabah FC ketika melawan JDT walaupun memang kita tahu sukar jika JDT bermain di tempat sendiri. Tetapi, jika masih belum bermain masih belum tahu," katanya.

Reza Kichiez juga menyokong pendapat yang tidak menafikan kehebatan JDT, namun masih berharap agar dua lagi pasukan keciciran mata dalam perlawanan akhir musim.

"Saya harap perlawanan akhir nanti Sabah dapat kemenangan ketika melawan JDT walaupun sukar. Tetapi, tiada yg mustahil dan andainya kita kalah dengan JDT, harap Terengganu atau Negeri Sembilan kalah supaya pasukan ini kekal di tangga kedua," katanya.

Selain itu, Ruslan Marasin juga menyatakan sokongannya kepada pasukan Borneo itu dalam pertembungan bersama Sri Pahang FC serta berharap momentum itu kekal ketika berdepan skuad kendalian Hector Bidoglio.

"Inilah yang kami mahu, semangat juang yang tidak pernah menyerah kalah dan akhirnya berjaya juga. Kami mahu ketika berdepan JDT nanti, jika dilakukan seperti ini, pasti kita menang. InsyaALLAH," katanya.

Sabah FC dijadualkan berdepan pasukan Harimau Selatan pada Sabtu selepas menghadapi satu musim yang cemerlang serta berpeluang menamatkan saingan di kedudukan empat teratas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram