Menang selepas berdepan tekanan, Bidoglio sasar tumbangkan Sabah FC penutup Liga Super


  • Podium
  • Rabu, 12 Okt 2022

Hector Bidoglio memuji semangat juang yang dipamerkan anak-anak buahnya. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

JOHOR Darul Takzim (JDT) berjaya melakar kemenangan bermakna selepas mudah menewaskan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di laman sendiri pada Selasa.

Namun, pengendali pasukan, Hector Bidoglio mengakui, anak-anak buahnya berdepan sedikit kesukaran sebelum menumpaskan skuad Sang Kenari dengan skor 4-1.

“Kami memang mengasak dan menguasai bola di separuh masa pertama, namun gagal menembusi benteng pertahanan KDA FC. Mereka bertahan dengan sembilan pemain dan hanya membiarkan hanya seorang pemain berada di atas.

“Bagaimanapun, pemain kami berjaya mengatasi tekanan berkenaan dan akhirnya kami berjaya memenangi perlawanan ini,” katanya sejurus tamat aksi Liga Super itu.

Jelas pengendali kelahiran Argentina itu, asakan yang dibuat pada awal permainan gagal disudahkan barisan penyerang, malah ketinggalan dengan satu gol pada penghujung separuh masa pertama.

Aksi Liga Super pada Selasa menyaksikan pasukan di tangga ketujuh itu mendahului menerusi ledakan pemain import, Ronald Ngah Wanja pada minit ke-45.

JDT bagaimanapun bangkit pada separuh masa kedua menerusi jaringan Bergson Da Silva pada minit ke-50 dan 89 selain dua jaringan pemain gantian, Syafiq Ahmad pada minit ke-63 dan 68.

Sementara itu, ketika ditanya akan aksi terakhir berdepan Sabah FC 15 Oktober ini, Bidoglio berkata, dia sudah mengingatkan pemain agar memberikan aksi terbaik bagi memastikan kemenangan pada perlawanan tersebut.

“Kita akan cuba sebaik mungkin bagi mencatatkan kemenangan pada perlawanan terakhir ini. Namun, kita tahu ia akan menjadi satu lagi perlawanan yang sukar dan semua pemain perlu memberikan aksi yang terbaik,” katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram