Kedah terus 'koyak', Negeri Sembilan tak kenal erti putus asa


  • Podium
  • Ahad, 09 Okt 2022

Kemenangan bermakna buat Negeri Sembilan FC apabila menewaskan Kedah 4-3 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Sabtu. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

SELEPAS tewas di tangan Johor Darul Takzim (JDT) sebelum ini, aksi Liga Super pada Sabtu menyaksikan Negeri Sembilan FC berjaya membawa pulang tiga mata sebaik menjinakkan Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Meskipun berjaya mendahului dengan tiga gol memasuki minit ke-80 permainan, sikap tidak putus asa daripada pemain Kedah tetap mendatangkan kegusaran kepada ribuan penyokong yang membanjiri Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, Negeri Sembilan.

Perlawanan yang berakhir dengan skor 4-3 itu pasti memberi sedikit kelegaan kepada ketua jurulatih skuad Jang, K Devan apabila mereka masih berusaha keras untuk melayakkan diri ke pentas Asia.

Selain itu, kepulangan tonggak pertahanan, Herald Goulon yang sebelum ini mengalami kecederaan juga memperkukuhkan lagi kemampuan pasukan walaupun sedikit 'bocor' pada minit-minit akhir.

301119223_475303751144791_668319049572885171_n

Kemenangan skuad Jang mendatangkan kegembiraan buat penyokong. Facebook/Negeri Sembilan FC

Bagi penyokong Negeri Sembilan, semangat juang yang ditunjukkan memberi gambaran bahawa pasukan tersebut tidak akan mengibarkan bendera putih dalam menamatkan musim di tangga tiga teratas.

Seorang penyokong, Ezwad Noranoreal berkata, dia percaya akan kemampuan pasukan itu dalam membawa pulang tiga mata berharga walaupun masih terdapat kesilapan yang perlu diperbaiki.

"Kita memang layak untuk menang malam ini, cuma kesilapan-kesilapan mudah dan hilang fokus daripada pemain masih boleh ditambah baik. Dua perlawanan berbaki, ayuh skuad Jang!" katanya.

Kejayaan itu turut dirasai Karlos Kamel yang masih mengharapkan pemain boleh memberi tumpuan sepenuhnya dalam sepanjang 90 minit permainan selepas ini.

"Terbaik, jika Negeri Sembilan menang dalam dua perlawanan lagi, mungkin dapat menduduki tangga kedua. Selepas itu, bolehlah fokus untuk kempen Piala Malaysia pula," katanya.

Skuad Jang selepas ini bakal berdepan pasukan bergelut liga, Melaka United dan mengakhiri saingan Liga Super di Stadium Darul Makmur dengan pertembungan bersama Sri Pahang FC.

Sementara itu, nasib yang berbeza dialami penyokong KDA FC apabila pasukan utara tanah air itu mencatatkan kekalahan buat kali ketiga berturut-turut.

Walaupun terdapat percubaan untuk mencuri sekurang-kurangnya satu mata, kekentalan benteng perlawanan tuan rumah terus memberi tekanan ke atas pengendali, Aidil Sharin Sahak.

Lebih teruk lagi, kedudukan mereka di tangga keenam terus terancam apabila Selangor FC mula mendapatkan rentak dengan mencatatkan dua kemenangan sebelum ini.

Selepas dimalukan di tangan JDT di Stadium Darul Aman sebelum ini, penyokong mula meluahkan kekecewaan mereka di atas prestasi skuad Sang Kenari.

309985752_520655769895778_2451971587736814066_n

Penyokong mula kecewa dengan persembahan skuad Sang Kenari ketika ini. Facebook/Kedah Darul Aman FC

Bagi Zainuddin Ismail, pasukan yang tidak berkualiti merupakan punca di atas kesukaran KDA FC kebelakangan ini sehingga mudah ditundukkan kelab lain.

"Kekurangan pemain yg berkualiti akibat kekangan bajet menyebabkan skuad kita menjadi lubuk tiga mata buat pasukan lain, semoga musim depan pihak pengurusan dapat membina semula pasukan," katanya.

Hal itu turut diluahkan Zainudin Ali yang berasakan kekalahan tersebut berpunca daripada kelekaan beberapa pemain, lebih-lebih lagi penyerang import, Ronald Ngah Wanja.

"Kecewa dengan penjaga gol, Shahrel Saari, kecewa dengan penyerang, Ronald Ngah. Sepatutnya, pemain tempatan yang diturunkan untuk ganti pemain itu," katanya.

KDA FC selepas ini bakal bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim, Johor untuk bertemu juara liga dan menerima kunjungan Terengganu FC di laman sendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram