NSFC mahu layak Piala AFC, waspada ancaman duo Sang Kenari


  • Podium
  • Jumaat, 07 Okt 2022

K. Devan berjanji akan menurunkan kesebelasan utama terbaiknya bagi menghadapi perlawanan menentang Kedah pada Jumaat.

SETELAH tewas di tangan Johor Darul Takzim minggu lalu, Negeri Sembilan FC (NSFC) nekad untuk bangkit semula bagi memperbaiki kedudukan Liga Super bagi melayakkan mereka meraih tempat ke Piala AFC musim depan

Justeru, perlawanan menentang pasukan Kedah Darul Aman (KDA) pada Jumaat dilihat sebagai satu misi penting buat skuad Jang Hobin yang akan menurunkan kesebelasan terbaik mereka.

Ketua jurulatih NSFC, K. Devan akui laluan mereka tidak mudah kerana Kedah memiliki dua senjata yang boleh menembus benteng pertahanannya iaitu Wanja Ronald Ngah serta Mahmoud Al-Mardi.

"Kami ada tiga perlawanan lagi. Target kita ialah dua perlawanan di tempat sendiri. Kami fokus untuk kumpul maksimum mata ketika lawan Kedah nanti. Mereka memiliki pemain import berkualiti, Ronald Ngah dan Al-Mardi.

"Saya jangka mereka berdua akan memberi 'masalah' kepada pasukan kami. Di atas kertas, pemain-pemain lokal pasukan Kedah kelihatan lebih baik daripada pemain lokal Negeri Sembilan.

"Keadaan cuaca juga memainkan peranan. Saya harap hujan tidak turun kerana sekiranya padang basah, ini akan akan menganggu corak permainan NSFC walaupun bermain di laman sendiri," katanya kepada Majoriti.

Ronald Wan Ngah dan Al-Mardi merupakan ancaman bagi NSFC. NSFC

Mengulas mengenai persiapan untuk Piala Malaysia, K. Devan enggan memberi fokus kepada kempen tersebut memandangkan persaingan Liga Super belum tamat.

"Oleh kerana saingan Liga Super belum habis, kami tidak tahu kami akan berada di kedudukan mana. Kami juga tidak tahu siapa lawan kami. Oleh itu, kami akan tunggu sehingga tamat saingan Liga Super.

"Kami ada peluang baik untuk baiki kedudukan kerana dalam baki perlawanan, kami bermain di laman sendiri sebanyak dua kali dan sekali sahaja jadi pasukan pelawat," jelasnya.

Sebagai rekod, NSFC yang konsisten di tangga ketiga selepas hampir lebih setengah musim sebelum jatuh ke tangga keempat Liga Super setelah tewas 0-5 ke atas pasukan JDT pada 1 Oktober lalu.

NSFC kini berkongsi 35 mata dengan Terengganu FC tetapi dipisahkan dengan kelebihan gol menyebelahi skuad Penyu.

Untuk melayakkan diri ke Piala AFC, Negeri Sembilan perlu berakhir di kedudukan kedua atau ketiga Liga Super. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram