Diakite respons 'Alhamdulillah' lepas jadi mangsa rasis, MU mungkin kena lagi dengan MFL-FAM?


  • Podium
  • Sabtu, 08 Okt 2022

Pemain kelahiran Senegal itu melaporkan terdapat cemuhan berbaur perkauman daripada penyokong Hang Tuah.

PIHAK Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) akan menantikan kesemua laporan sebelum melakukan siasatan ke atas kata-kata berbaur perkauman daripada penyokong Melaka United FC ketika pertemuan pasukan itu dengan Terengganu FC dalam aksi Liga Super di Stadium Hang Tuah, Melaka pada Jumaat yang menyaksikan skuad pelawat menang 4-2.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Stuart Ramalingam berkata, MFL akan melihat akan isu itu pada Isnin apabila segala dokumen dan perkara yang diperlukan berjaya dikumpul.

"Pihak MFL perlu menunggu setiap laporan yang diberikan atas isu tersebut dan menjalankan siasatan terlebih dahulu. Kami akan meneliti perkara itu pada Isnin apabila kesemuanya kami terima," katanya kepada Majoriti.

Tambah Stuart, pihaknya tidak akan mengambil ringan akan isu perkauman kerana perkara itu akan menjejaskan reputasi bola sepak dan mana-mana pihak yang terlibat.

WhatsApp Image 2022-10-08 at 13.05.42

Diakite menerusi media sosial melaporkan terdapat laungan berunsur perkauman ke atas pemain import Terengganu FC.

Sementara itu, Setiausaha Agung Perbadanan Bola Sepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman berkata, pihaknya pula akan menunggu laporan daripada MFL sebelum tindakan dilakukan ke atas kelab tersebut.

"Saya akan menunggu laporan daripada MFL dan apakah tindakan yang akan diambil," katanya.

Selain itu, Noor Azman juga mengambil berat akan permohonan maaf pihak pengurusan Melaka United dan mengatakan ia berpunca daripada segelintir penyokong sahaja.

Pada pertembungan kedua pasukan itu, Terengganu FC berjaya membenam pasukan bergelut itu dengan skor 4-2, sekali gus memberi tekanan kepada skuad Hang Tuah.

Namun, selepas perlawanan itu, pertahanan import Sang Penyu, Pape Diakite menyuarakan kekecewaannya menerusi media sosial dengan mengatakan segelintir penyokong menghembur kata-kata bersifat perkauman.

"Sebahagian penyokong Melaka memanggil kami (pemain import) dengan cemuhan berunsurkan perkauman.

"Tetapi, kami berasa bangga di atas warna kulit kami dan sehingga mati sekalipun, ia adalah perkara yang memalukan sebagai seorang Muslim. Alhamdulillah," tulisnya.

Berikutan perkara itu, pihak pengurusan Melaka United lantas mengeluarkan kenyataan maaf di atas kelakuan tersebut, lebih-lebih lagi kepada pemain kelahiran Senegal itu.

"Kelab Bola Sepak Melaka United FC mengecam sekeras-kerasnya terhadap segala bentuk perbuatan yang berbaur perkauman dan ia tidak sepatutnya berlaku dalam sukan bolasepak," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, Melaka United terpaksa melupakan saingan Piala Malaysia 2022 kerana gagal menyelesaikan isu tunggakan gaji pegawai dan pemain. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram