Semua orang buat kesilapan — Pape Diakite


  • Podium
  • Ahad, 11 Sep 2022

Kesilapan Rahadiazli yang keluar terlalu awal membuka ruang kepada Bergson Da Silva meraih gol ketiga pada minit 78. — Facebook/TFC

PERTAHANAN Terengganu FC, Pape Diakite menasihatkan penjaga gol, Rahadiazli Rahalim agar tidak terlalu kecewa dengan kesilapan yang dibuat oleh penjaga gawang itu pada selepas perlawanan akhir Piala FA yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.

Pada perlawanan tersebut, Johor Darul Takzim (JDT) menjulang Piala FA selepas menumpaskan Terengganu FC (TFC) 3-1 di hadapan 84,321 penonton.

Diakite berkata, Rahadiazli tidak boleh terlalu kecewa kerana semua orang buat kesilapan.

"Saya buat kesilapan dan begitu juga pemain lain.

"Tetapi selepas melakukan kesilapan, apa yang penting bagaimana untuk bangkit kerana dari situlah kita akan lebih matang selepas belajar daripada pengalaman,” nasihatnya kepada penjaga gol tersebut.

KUALA LUMPUR, 10 Sept -- Suasana ceria para pemain JDT menjulang Piala FA selepas tamat perlawanan Final Piala FA, JDT menentang Terengganu FC di Stadium Nasional Bukit Jalil hari ini.Keputusan penuh JDT menewaskan Terengganu FC 3-1.--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

JDT meraikan kemenangan Piala FA selepas menewaskan TFC, 3-1, di Stadium Nasional Bukit Jalil. — Bernama

Tambah Diakite, apa yang terjadi pada situasi gol ketiga JDT sememangnya memeritkan untuk diterima Rahadiazli namun mengingatkan kepada semua peminat, dia masih muda dan mempunyai masa depan yang cerah.

Baginya, menang atau kalah adalah adat pertandingan dan semua pemain Terengganu akan terus memandang ke hadapan serta berikan tumpuan kepada pertandingan seterusnya seperti memburu posisi yang lebih baik di Liga Super.

“Sebelum ke sini, dia (Rahadiazli) telah melakukan tugasan yang baik semasa di separuh akhir dan jangan lupa tentang perkara berkenaan.

“Dia masih berusia 20 tahun dan banyak lagi boleh dipelajari, tiada sesiapa yang perlu dipersalahkan kerana kami menang sebagai satu pasukan dan kalah sebagai satu pasukan.

“Apa-apa pun, ini pengalaman yang sangat berguna kepada kami malah ini adalah final pertama saya dan rasa sangat bertuah dapat melakukannya pada tahun pertama bersama Terengganu,” katanya.

306317179_1545589572538385_8019186693399203948_n

Tchetche Kipre merapatkan jurang pada minit 76 selepas Farizal Marlias membuat kesilapan

Dalam perlawanan akhir Piala FA yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu, selepas Tchetche Kipre merapatkan jurang pada minit 76, kesilapan Rahadiazli yang keluar terlalu awal membuka ruang kepada Bergson Da Silva meraih gol ketiga pada minit 78.

Jaringan itu nyata merentap semangat perjuangan Terengganu yang dalam misi memburu gol penyamaan bagi menghidupkan sisa-sisa peluang mengheret permainan ke masa tambahan.

Sementara itu, penyerang Terengganu, Tchetche Kipre, akui sentuhan penyudah JDT lebih baik pada perlawanan akhir dan mereka berhak dinobatkan selaku juara.

Penyerang yang berasal dari Ivory Coast itu juga tidak menafikan sedikit kesal kerana gagal menyambar peluang keemasan pada minit 25 yang boleh mengubah corak perlawanan.

“Sememangnya sangat sedih kerana apabila sampai ke peringkat akhir, kami main untuk menang dan bila gagal lakukannya, tiada apa yang boleh diperkatakan serta harus salahkan diri sendiri.

“JDT bermain sangat baik dan mereka manfaatkan peluang dan kami tidak, bagi saya mereka lebih laparkan kejayaan daripada kami,” katanya. — MFL

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram