Enggan toleh belakang, skuad Penyu sedia hadapi Sabah FC


  • Podium
  • Isnin, 26 Sep 2022

Kekalahan di tangan JDT pada final Piala FA diambil sebagai iktibar buat skuad Penyu. — Facebook/ Terengganu FC

SKUAD Penyu mahu ketepikan memori duka dengan melupakan kekecewaan mereka setelah tewas di tangan Johor Darul Takzim (JDT) dalam final Piala FA pada awal bulan lalu.

Menurut pertahanan Terengganu FC, Pape Diakite, rakan sepasukannya kini lebih bersedia untuk menghadapi baki perlawanan dan juga aksi di pentas TM Piala Malaysia.

“Selepas kecewa dalam aksi final yang lalu, banyak yang kita belajar daripada apa yang berlaku.

“Dan sekarang adalah untuk pasukan terus ke hadapan fokus kepada liga dan kami bersedia untuk menamatkan liga di kedudukan yang terbaik.

“Saya harap penyokong juga dapat beri sokongan yang sama kerana kita tahu liga juga amat penting untuk pasukan”, katanya seperti yang dinyatakan dalam kenyataan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Mengulas mengenai aksi menentang Sabah FC di laman sendiri pada 1 Oktober depan, pemain berusia 30 tahun itu enggan mengulangi kesilapan sama seperti perlawanan terdahulu.

Jelasnya, kali terakhir mereka tewas di tangan Sabah pada Julai lalu adalah berpunca daripada kesilapan-kesilapan kecil yang tidak sepatutnya berlaku dan dengan prestasi anak buah Datuk Ong Kim Swee ketika ini tidak boleh dipandang mudah.

Diakite tidak mahu ulang kesilapan pada pertemuan dengan pasukan Sabah FC 1 Oktober ini.

Bahkan, Terengganu perlu terus mengutip mata dalam baki empat aksi bagi memastikan mereka mampu mendaki kedudukan liga sekurang-kurangnya tiga terbaik.

Tambahnya, skuad kendalian Nafuzi Zain enggan mengecewakan penyokong apabila itu akan menjadi aksi di laman sendiri yang terakhir untuk mereka bagi Liga Super, musim ini.

“Ini tahun pertama saya di Terengganu dan apa yang saya boleh katakan pengalaman bersama penyokong di sini sangat bagus.

“Cuma saya harap penyokong akan sentiasa di belakang kami walaupun menang, kalah, atau seri sekalipun dan yang penting, jangan lupa datang untuk aksi terakhir di laman sendiri nanti.

“Cuma kita tahu Sabah merupakan pasukan yang begitu konsisten dan ini tidak akan mudah untuk Terengganu.

“Kita kena waspada dengan kesilapan-kesilapan kecil yang boleh menghukum kita dan tidak boleh tewas sekali lagi”, jelasnya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram