Nafuzi Zain puji melangit penyokong TFC, OKS optimis Sabah ke Piala AFC walau tak layak menang


  • Podium
  • Ahad, 02 Okt 2022

Pemain TFC, Pape Abdoulaye Diakite (tengah) meraikan kejayaan bersama rakan sepasukan selepas menjaringkan gol pertama semasa menentang pasukan Sabah FC pada saingan Liga Super 2022 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada Sabtu. — Bernama

TERENGGANU FC (TFC) berjaya membalas dendam kekalahan lalu selepas membenam Sabah FC 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Terengganu pada Sabtu.

Ketua jurulatih TFC, Nafuzi Zain mendedikasikan kemenangan tersebut khas buat penyokong skuad hitam putih.

Menurut Nafuzi, dia amat terharu dan berbangga kerana penyokong serta peminat bola sepak Terengganu sentiasa memberikan sokongan padu dengan hadir memenuhi stadium serta menyifatkan mereka antara penyokong terbaik kelab bola sepak di negara ini.

"Saya sungguh terharu dengan peminat bola sepak Terengganu yang dari awal tak berhenti beri sokongan kepada pasukan, sejak saya mula menerajui pasukan ini pada 2018.

"Apatah lagi di saat kita dalam kedudukan sengit bersaing dengan beberapa pasukan lain untuk merebut slot ke Piala Konfederansi Asia (AFC)," katanya selepas perlawanan menentang Sabah FC pada Sabtu.

Pada perlawanan tersebut, dua gol jaringan Skuad Penyu berjaya dihasilkan Nik Muhammad Shariff Haseefy Mohd Lazim dan Pape Diakite.

Dalam pada itu, Nafuzi memuji persembahan bertenaga anak buahnya sehingga berjaya menewaskan pasukan Sabah yang berada di kedudukan lebih atas berbanding TFC dalam ranking Liga Super.

309443693_1561479120949430_6426896675214317804_n

Pertahanan Sabah cuba mengekang asakan pasukan Terengganu FC. Facebook/TFC

Sementara itu, Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berkata, persembahan pada Sabtu merupakan aksi terburuk yang pernah dipamerkan anak buahnya sepanjang 19 perlawanan Liga Super musim ini.

"Terengganu memang layak menang, malah dengan corak permainan seperti malam ini, kita tak layak walaupun untuk keputusan seri," katanya.

Bagaimanapun, beliau tetap yakin Sabah masih di landasan yang betul untuk menamatkan liga musim ini dalam kelompok tiga pasukan terbaik, sekali gus layak ke Piala AFC musim depan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram