Lee Tuck, Aguero kempunan aksi bertemu JDT


  • Podium
  • Khamis, 06 Okt 2022

Lee Tuck (kiri) dan Aguero berjaya memperolehi status kewarganegaraan. — Facebook/Sri Pahang FC

KEJAYAAN dua pemain import Sri Pahang FC, Lee Tuck dan Sergio Aguero untuk mendapatkan status naturalisasi membolehkan skuad Tok Gajah untuk mendaftarkan mereka dalam kuota tempatan.

Bagaimanapun, menurut ketua jurulatih pasukan, Datuk Dollah Salleh, meskipun pendaftaran itu sudah diluluskan, kedua-dua pemain itu masih tidak boleh diturunkan dalam baki-baki perlawanan Liga Super.

"Kedua-dua mereka tidak boleh diturunkan lagi, Piala Malaysia nanti baru boleh diturunkan," katanya kepada Majoriti.

Tuck dan Aguero sebelum ini berjaya mendapatkan kewarganegaraan pada Ogos yang membuka peluang kepada mereka didaftarkan sekali gus membolehkannya turun beraksi dalam saingan liga.

Perkara itu menerima pelbagai respons daripada penyokong Harimau Malaya yang menolak kehadiran kedua-dua pemain itu ke dalam skuad kebangsaan melihat kepada usia masing-masing.

Pahang coach Dollah Salleh in the training session with his players before their FA Cup final match against Selangor at the Bukit Jalil National Stadium yesterday. IZZRAFIQ ALIAS / The Star. July 6, 2018.

Dollah Salleh melihat JDT sebagai satu pasukan yang gah meskipun dengan ketiadaan Bergson.

Di peringkat kelab pula, mereka juga tidak dibenarkan untuk beraksi sepanjang musim selepas kuota pemain import yang dibenarkan pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) sudah mencapai had.

Mengulas lanjut, Dollah menganggap pertembungan bersama Johor Darul Takzim (JDT) tidak boleh dipandang remeh meskipun pasukan tersebut kehilangan tonggak serangan, Bergson da Silva.

"Bagi saya, sama sahaja pasukan itu. Tiada perubahan sekali pun. Dengan siapa sahaja yang diturunkan, semua orang tahu bahawa mereka adalah satu pasukan yang digeruni.

"Tiada istilah yang mengatakan jika Bergson tidak bermain atau Forestieri sekali pun, itu bukanlah satu kelemahan buat mereka," katanya.

Bergson sebelum ini dilayangkan kad merah ketika berdepan Kedah Darul Aman FC yang menyaksikan dia tidak boleh diturunkan dalam minimum satu perlawanan liga.

Sri Pahang ketika ini berada di tangga ketujuh dan mereka pastinya berhasrat untuk menambah baik kedudukan dalam carta bagi membolehkan pasukan itu beraksi dengan lebih cemerlang pada kejohanan Piala Malaysia.

Berdasarkan undian yang dibuat, pasukan itu berkemungkinan bertemu pasukan di kedudukan kedua Liga Super dan hal itu pastinya memberi cabaran apabila Terengganu FC dan Sabah FC berpeluang mengisi slot tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram