SRI Pahang FC menjadi pasukan seterusnya berimpian untuk meleburkan rekod tanpa kalah pemenang Liga Super 2022, Johor Darul Takzim (JDT) menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam aksi Liga Super pada Jumaat.
Aksi yang akan berlangsung Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang itu merupakan perlawanan wajib menang skuad Tok Gajah selepas merekodkan dua kekalahan di laman sendiri sebelum ini.
Pada dua perlawanan terakhir di Stadium Darul Makmur, Sri Pahang tewas di tangan Terengganu FC (TFC) 1-2 dan Kuala Lumpur City FC (0-2).
Selain penyokong Tok Gajah yang tidak sabar menanti kunjungan skuad Harimau Selatan, pemain naturalisasi, Lee Tuck turut memberi ‘hint’ seolah-olah sudah tidak sabar bertemu JDT.
Tuck merupakan antara pemain yang ditunggu untuk beraksi bersama Sri Pahang. — Instagram/Lee Tuck
Sejak Tuck disahkan sebagai pemain tempatan dalam Liga Malaysia 2022 oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) pada September lalu, khidmatnya masih belum digunakan oleh Datuk Dollah Salleh.
Penantian Tuck dikatakan bakal berakhir apabila pemain berusia 34 tahun itu memberi petunjuk bakal memperkukuh Sri Pahang pada perlawanan menentang JDT.
“Counting down the days (menghitung hari) @officialSriPahang,” tulis Tuck pada hantaran di Instagram miliknya.
Hantaran pemain tengah Sri Pahang itu turut mendapat reaksi dari rakan pasukannya, Sergio Aguero dan pemain yang pernah dikaitkan berhijrah ke Tok Gajah, Kobe Jae Chong.
Tangkap layar komen diberikan oleh Aguero dan Kobe Jae. — Instagram/Lee Tuck
Komen Aguero: “King Tuck” itu dibalas oleh pemain itu dengan menyatakan “Jangan risau, kita akan kembali dalam pasukan”.
Kobe Jae turut meletakkan emoji kambing (Goat) yang bermaksud 'greatest of all time' sebelum dibalas oleh Tuck pada ruangan komen itu.
Selepas melayan kunjungan JDT pada Jumaat, Sri Pahang mempunyai dua lagi baki perlawanan di halaman sendiri iaitu berdepan Sabah FC (11 Oktober) dan Negeri Sembilan FC (NSFC) empat hari kemudian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram