Masa depan bersama JDT semakin malap, 3 kelab gergasi sanggup terima Sumareh


  • Podium
  • Selasa, 27 Sep 2022

Persembahan Sumareh bersama skuad kebangsaan ketika bertemu Tajikistan mengundang cemuhan dan kritikan. — Facebook/FAM

PERSEMBAHAN mengecewakan skuad kebangsaan ketika dalam perlawanan akhir Piala Raja Thailand bertemu Tajikistan mengundang pelbagai respons daripada penyokong Harimau Malaya.

Selain menyaksikan rentak permainan terkesan berikutan hujan lebat, prestasi secara individu juga dilihat sebagai punca kepada kesukaran untuk melakukan sebarang gerakan yang berbahaya.

Antara pemain dituding jari di atas persembahan yang tidak bermaya adalah pemain sayap kanan, Mohamadou Sumareh yang jelas menjadi bahan perbualan di media sosial selepas perlawanan itu.

Ketika mempunyai penguasaan bola, Sumareh sering mensia-siakan peluang apabila gerak-gerinya mudah dibaca benteng pertahanan sekali gus menyukarkan barisan serangan Harimau Malaya.

Tidak cukup dengan itu, bentesan dan kecuaian yang berlaku pada babak pertama hampir menyebabkan skuad kendalian Kim Pan-gon (KPG) terpaksa beraksi dengan 10 orang.

Jadi, tidak hairanlah apabila orang ramai mula memaksa agar pemain berusia 28 tahun itu digugurkan daripada skuad, lebih-lebih lagi untuk menghadapi kejohanan Piala AFF 2022.

Selain itu, prestasi dan sumbangan yang terhad ketika menyarung jersi kebangsaan pasti memberi kesan ke atas kariernya yang semakin samar dalam arena bola sepak tempatan.

Kehadiran pemain sayap berkualiti dalam skuad Johor Darul Takzim (JDT), seperti Fernando Forestieri dan Arif Aiman Hanapi mengakibatkan peluang untuknya beraksi semakin terhad.

Musim ini sahaja, Sumareh hanya sempat beraksi sebagai pemain gantian dalam empat perlawanan apabila sekadar meledak satu gol dalam saingan Liga Super dapat dijaringkan pemain kelahiran Gambia itu.

Oleh itu, wajar untuk mengatakan masa depan pemain itu bersama Harimau Selatan berada dalam tanda tanya dengan jendela perpindahan yang semakin tiba musim depan.

Sumareh pastinya melakukan perancangan awal dengan mencari peluang untuk dipinjamkan ke kelab dalam Liga Malaysia sekiranya berhasrat untuk tidak menamatkan kariernya di usia muda.

Di samping itu, penyokong beberapa pasukan mula bertanya-tanya mengenai kebolehan untuk membawa masuk Sumareh secara pinjaman ataupun kekal dengan kemahirannya masih boleh digilap semula.

Terengganu FC

Peluang untuk Terengganu FC (TFC) mencabar kejuaraan liga ataupun mana-mana piala musim depan adalah cerah sekiranya mereka meneruskan rentak dan prestasi ketika ini.

Meskipun dengan khabar angin bahawa ketua jurulatih, Nafuzi Zain bakal meninggalkan kelab itu, kelancaran dan pengurusan yang efisien membolehkan pasukan itu beraksi cemerlang di atas padang.

Acuan berkesan antara pemain import dan tempatan menjadi resepi utama dalam menghasilkan sebuah skuad yang serba lengkap dari barisan pertahanan sehingga jentera serangan mereka.

Namun, persiapan perlu dilakukan dengan awal sebelum musim depan bermula bagi memastikan hasrat untuk membawa cabaran itu tidak terpadam begitu sahaja.

Pengambilan pemain berkualiti dilihat sebagai resipi utama dalam menggenggam hasrat itu bagi memperkuatkan lagi skuad sedia ada meskipun terpaksa membuat pelaburan yang besar.

305027740_1548137232283619_8708506288469495644_n

Skuad Sang Penyu pasti terbuka dengan kehadiran Sumareh. Facebook/Terengganu FC

Selain itu, pihak pengurusan juga perlu membawa masuk pemain yang boleh digilirkan untuk memastikan pemain terus bertenaga di atas padang sepanjang 90 minit perlawanan.

Oleh itu, Sumareh kelihatan sebagai pilihan yang tepat sekiranya staf teknikal terbuka untuk mendapatkan khidmatnya yang kelihatan sedikit terhad ketika ini.

Keupayaan Sumareh untuk bermain di posisi sayap kanan dan kiri kelihatan sebagai satu kelebihan apabila perkara itu sering digunakan ke atas tonggak skuad, Faisal Halim.

Tidak cukup dengan itu, pengalaman Sumareh yang pernah diturunkan sebagai pemain tengah menyerang ketika bersama Pahang FA juga boleh digunakan dalam menambah sokongan kepada pemain import, Manuel Ott ataupun Petrus Shitembi.

Perkara itu juga diterima penyokong skuad Sang Penyu apabila pihak pengurusan JDT pastinya terbuka untuk melepaskan Sumareh secara pinjaman bagi musim depan.

Seorang penyokong bola sepak, Haikal Haikal berkata, sentuhan barisan kejurulatihan ke atas pemain itu boleh membawa semula prestasi cemerlang yang pernah ditunjukkan Sumareh.

"Musim depan, Terengganu FC boleh dapatkan Mohamadou Sumareh kerana saya rasa dia masih boleh digilip dan belum lagi berkarat sepenuhnya," katanya.

Hal itu turut disokong Amranalias Mranlias dengan mempercayai bahawa kekurangan minit permainan menyebabkan persembahannya semakin merudum bersama skuad kebangsaan.

"Betul juga dengan idea tu, kerana Sumareh ini permainan dan prestasinya sebelum ini sememangnya hebat semasa saya perhatikan, tetapi kerana terlalu lama dibiarkan di bangku simpanan, hilanglah kebolehan dia," katanya.

Sri Pahang FC

Sebanyak 14 gol dan 15 hantaran gol bersama Sri Pahang FC merupakan batu loncatan buat Sumareh dalam arena bola sepak negara selepas menyertai pasukan itu pada 2017.

Kejayaan dan sumbangannya dalam kejohanan Piala FA 2018 turut membawa kenangan apabila skuad Tok Gajah berjaya menjulang trofi itu selepas menundukkan Selangor.

Kelajuan, kelincahan dan ketajaman di hadapan pintu gol menyebabkan kehadiran Sumareh sukar untuk dilupakan dengan namanya diletakkan bersama barisan import yang pernah mewarnai pasukan itu.

Tidak cukup dengan itu, Pahang FA yang ketika itu berada di bawah kendalian Datuk Dollah Salleh berjaya memberi saingan hebat terhadap JDT dengan menamatkan saingan di tempat kedua pada 2017 dan 2019.

Saingan dan pertemuan bersama skuad Harimau Selatan juga sering menjadi medan buat Sumareh untuk menampilkan kemampuannya terhadap penyokong yang tidak sabar untuk melihat kebolehannya.

Mohamadou-Sumareh-1

Sumareh pernah beraksi bersama Pahang FA dari 2017 hingga 2020. Pahang FA

Namun, selepas Sumareh mengumumkan bahawa dia bakal meninggalkan pasukan itu untuk berhijrah ke selatan tanah air, perkara itu melukakan hati penyokong yang tidak henti-henti memberi semangat buatnya.

Sejak itu, Sri Pahang FC sukar untuk mencari pemain yang mempunyai sentuhan seperti Sumareh meskipun sudah hampir dua tahun dia meninggalkan skuad Tok Gajah.

Perkara itu semestinya menyukarkan peluang untuk membawa pulang Sumareh dengan rata-rata penyokong masih tidak boleh melupakan 'pengkhianatan' yang berlaku.

Namun, ada juga yang terbuka dengan cadangan itu apabila barisan serangan Sri Pahang FC ketika ini jelas memerlukan wajah baharu bagi menambah baik kemampuan mereka.

Dalam satu hantaran di laman media sosial Facebook Bolasepak Malaysia, Sumareh boleh dibawa pulang bagi menambah baik sentuhannya dengan Dollah Salleh masih memegang jawatan ketua jurulatih.

"Kurangnya minit permainan bersama kelab menjadi faktor mengapa kualiti permainan Sumareh jauh merosot berbanding ketika dia beraksi bersama skuad kebangsaan ketika beliau bersama Pahang.

"Jadi, sudah sampai masanya Sumareh kembali ke pangkuan Datuk Dollah di Sri Pahang FC untuk mengembalikan semula Sumareh yang dahulu," katanya.

Perkara itu dipersetujui Imran Mustaffa yang melihat Sumareh perlu dibawa keluar daripada JDT bagi mendapatkan semula sentuhan yang pernah dibawanya dahulu.

"Biarlah Sumareh itu dikeluarkan secara pinjaman kepada pasukan-pasukan lain, rugi sekiranya hanya diperam sahaja. Ia juga merugikan skuad kebangsaan," katanya.

Selangor FC

Satu lagi pasukan yang disebut-sebut menjadi destinasi baharu Sumareh musim depan termasuklah Selangor FC yang kini dengan berdepan revolusi besar-besaran sebaik kehadiran Tan Cheng Hoe sebagai jurulatih musim depan.

Cuma pada masa sama, majoriti peminat fanatik The Red Giant tidak merestui kehadiran Sumareh rentetan kontroversi melibatkan pemain naturalisasi itu yang bertindak memilih Police Tero sebelum akhirnya ke JDT sebelum ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram