Akui momentum Sri Pahang terganggu, Dollah Salleh siap siaga berdepan 3 ‘gelombang’ JDT-Sabah FC-NSFC


  • Podium
  • Sabtu, 24 Sep 2022

Dollah menuntut persembahan yang bertenaga daripada anak-anak buahnya menjelang baki empat aksi Liga Super.

RENTAK yang cuba diperolehi Sri Pahang FC dalam menghadapi baki saingan Liga Super mula berubah kekok apabila mencatatkan dua kekalahan berturut-turut.

Ketua jurulatih pasukan, Datuk Dollah Salleh berkata, beliau mahu menyaksikan kebangkitan semula anak-anak buahnya dalam empat perlawanan terakhir untuk membina semula momentum sebelum menghadapi saingan Piala Malaysia 2022.

Jelas beliau, tempoh senggang selama tiga minggu diharapkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk menaikkan semula tahap moral dan motivasi pemain yang bakal diturunkan.

“Sepanjang tempoh rehat menjelang perlawanan seterusnya lebih kurang seminggu lagi, kami giat menjalankan beberapa perlawanan persahabatan bagi memperbaiki kelemahan termasuk berdepan Terengganu FC, 27 September ini.

“Saya tidak nafikan momentum pasukan sedikit terganggu apabila tewas kepada Terengganu dan Kuala Lumpur City (KL City), jadi saya harap kami mampu kembali berada di tahap terbaik sebelum perlawanan dengan Sarawak United," katanya kepada MFL.

Tambah beliau, kedudukan terakhir mereka dalam carta liga bukanlah sasaran yang ditetapkan, namun rentak dan gaya permainan menjadi penanda aras buat pengendali berpengalaman itu.

WhatsApp Image 2022-09-24 at 10.35.46

Sri Pahang FC tumpas di laman sendiri ketika menerima kunjungan KL City FC. Facebook/Sri Pahang FC

“Kami tidak meletakkan sebarang sasaran tertentu dari segi kedudukan terakhir Liga Super yang boleh menjadi penentu cabaran kami di Piala Malaysia.

“Apa yang lebih mustahak adalah pasukan kami boleh perbaiki persembahan dalam empat baki terakhir Liga Super sebelum kami bermain di Piala Malaysia,” katanya.

Skuad Tok Gajah ketika ini berada di tangga ketujuh selepas mengutip 21 mata daripada 18 perlawanan dengan dua pasukan lembah Klang, Selangor FC dan PJ City FC rapat mengekori mereka.

Bagaimanapun, pasukan itu menghadapi ujian getir apabila terpaksa berdepan tiga pasukan teratas liga, iaitu Johor Darul Takzim (JDT), Sabah FC dan Negeri Sembilan FC selepas berkunjung ke Stadium Sarawak untuk menghadapi ujian daripada skuad Ngap Sayot.

Dalam masa sama, Dollah juga berasa senang di atas situasi semasa barisan pemain apabila tiada isu kecederaan menimpa, termasuk kepulangan pemain sayap, Baqiuddin Shamsudin yang sebelum ini tidak dapat diturunkan berikutan masalah peribadi.

“Semua pemain saya boleh bermain bagi perlawanan akan datang dan saya sudah punyai banyak pilihan untuk digunakan bagi kesebelasan utama.

“Baqiuddin tidak dapat berikan komitmen ekoran anaknya kurang sihat dan itu menjadi punca dia tidak diturunkan dalam beberapa perlawanan sebelum ini.

“Kini, kesihatan anaknya sudah beransur baik dan sudah mula bersama pasukan, kehadirannya sangat penting bagi menambah sengat di barisan serangan,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram