Hatrik Ryan Lambert 'pikat' 3 kelab elit Liga Super


  • Podium
  • Khamis, 29 Sep 2022

Ledakan hatrik Ryan membolehkan KL City menang bergaya pada aksi Liga Super menentang Sarawak United FC pada Rabu. — Facebook/ MFL

LEDAKAN hatrik yang dilakukan oleh pemain tengah Kuala Lumpur (KL) City, Ryan Lambert dalam perlawanan Liga Super menentang Sarawak United pada Rabu membantu pasukannya menang bergaya dengan catatan 5-0.

Pada aksi di Stadium Cheras, Kuala Lumpur tersebut, pemain berusia 24 tahun itu menjaringkan gol pada minit ke-29, 41 dan 53 untuk melengkapi jaringan pembuka, Paulo Josue pada minit ke- 28 serta jaringan penutup, Jordan Mintah pada minit ke-86.

Aksi garang pemain kacukan Malaysia-British itu dilihat seakan-akan melepaskan rasa geram apabila tidak dipanggil untuk menyarung jersi Harimau Malaya seperti kembarnya, Declan pada saingan Piala Raja Thai baru-baru ini.

Jika membuktikan kemampuan adalah niat Ryan menonjolkan aksi mempesonakan pada Rabu, maka dia telah berjaya kerana aksinya itu sememangnya berjaya membuka mata ramai terhadap potensi yang ada pada masa ini.

Berdasarkan maklumat di transfermarket, Ryan merekodkan empat jaringan gol pada 15 penampilannya dalam Liga Super sekali gus menjadikannya sebagai prospek masa depan sekiranya diberi lebih peluang.

Berikut merupakan tiga kelab yang dikatakan boleh menggunakan khidmat Lambert bagi menguatkan lagi barisan jentera serangan mereka yang tumpul.

Embalo tidak dapat mencapai tahap yang diharapkan Kim Swee. Facebook/ Sabah FC

1. Sabah FC

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee telah lengkap dengan segala bakat di setiap posisi namun ketumpulan pada bahagian serangan mereka telah menyebabkan mereka kelihatan tempang pada setiap perlawanan.

Kehadiran pemain import, Jose Embalo tidak memberi banyak perubahan kepada skuad tersebut setelah pemain Guinea-Bissau itu sekadar mencatatkan satu gol dalam tujuh penampilannya bersama skuad Sang Badak.

Itu tidak termasuk lagi dengan masalah kecederaan yang sering membelenggu pemain berusia 29 tahun tersebut sekali gus menjadikan dia liabiliti untuk pasukan dari Borneo tersebut.

Jika Ryan diberi peluang untuk membantu memperkuatkan lagi jentera The Rhinos, sudah tentu pasukan Sabah tidak lagi tempang dan mampu menjadi pencabar kepada pasukan Johor Darul Takzim.

Tidak cukup dengan itu, prospek untuk beraksi di pentas Asia juga akan memberi amaran kepada pihak atasan untuk memperkuatkan lagi skuad dengan mencari barisan pemain berkualiti.

Sabah FC sedang menduduki tangga kedua serta kelihatan mempunyai peluang cerah untuk layak ke saingan Piala AFC 2023 dan kehadiran Ryan pasti akan menambah baik skuad The Rhinos.

Rodriguez memerlukan bantuan rakan sepasukan jika hendak terus tampil sebagai mesin gol. Facebook/ Sri Pahang

2. Sri Pahang FC

Pasukan Pahang menunjukkan peningkatan pada musim ini setelah pengendalinya berubah tangan daripada ketua jurulatih dari Perancis, Christophe Gamel kepada ketua jurulatih tempatan, Datuk Dollah Salleh.

Kehadiran Steven Rodriguez yang menyertai skuad Sri Pahang memberikan harapan kepada penyokong pasukan tersebut untuk muncul sebagai gergasi Pantai Timur pada masa depan.

Selain itu, sentuhan pemain kelahiran Argentina, Manuel Hidalgo di posisi sayap juga kelihatan terhad berikutan kekurangan hantaran berkualiti daripada rakan sepasukan.

Oleh itu, peluang ketika berada dalam jendela perpindahan pasti akan menyaksikan pengambilan pemain baharu dalam menambah baik kemampuan serangan skuad Tok Gajah.

Namun, jika ditambah dengan kehadiran Ryan, pasti gandingan mereka mampu membantu skuad Sri Pahang untuk pergi lebih jauh kerana Dollah akan memiliki lebih pilihan pemain yang kuat di bahagian jentera serangan.

Hantaran cantik yang mampu dihasilkan Ryan dilhat sebagai kunci dalam memperkuatkan lagi kebolehan jentera serangan apabila pemain itu juga mampu diturunkan sebagai pemain tengah menyerang.

Meskipun ketika ini pasukan itu juga dikaitkan dengan kepulangan bekas pemain, Faisal Halim, perancangan juga akan dilakukan untuk mencari pengganti sekiranya harapan untuk membawa pemain Terengganu FC itu tidak tercapai.

Cheng Hoe kini sedang menilai pemain-pemain untuk pasukan Selangor musim hadapan. Facebook/ Sri Pahang

3. Selangor FC

Pasukan Selangor kini sedang giat menilai pemain mereka untuk memastikan hanya yang terbaik akan membarisi pasukan bimbingan ketua jurulatih baharu, Tan Cheng Hoe pada saingan liga akan datang.

Cheng Hoe dikhabarkan akan menggunakan Piala Malaysia sebagai medan untuk membuat uji kaji ke atas pemainnya bagi memahami dan melihat kesesuaian yang akan dipraktikkan pada skuad musim depan.

Setakat ini, Selangor FC juga dikatakan berminat untuk mendapatkan khidmat pemain sensasi Terengganu, Faisal Halim, namun kedua-dua pihak kelihatan masih lagi bermain tarik tali.

Jika Selangor mahu pilihan lain, Ryan adalah calon sesuai untuk melengkapi pasukan yang kini dibarisi oleh pemain-pemain muda dan seangkatan dengan pemain kelahiran Australia itu.

Ryan juga pastinya tidak menolak peluang untuk menyertai skuad Gergasi Merah apabila mereka diketahui kerap memberi peluang kepada pemain muda, seperti Mukhairi Ajmal dan Zikri Khalili.

Jadi, sekiranya Lambert memilih pemenang 33 kali Piala Malaysia itu sebagai destinasinya untuk musim akan datang, dia pasti tidak akan disisihkan dan terus diberi peluang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram