‘Cuti panjang buat apa?’ — Penyokong persoal kenapa Tok Gajah tersembam


  • Podium
  • Isnin, 12 Sep 2022

Kekalahan itu menyaksikan skuad Tok Gajah kekal berada di kedudukan ketujuh Liga Super dengan mengutip 21 mata daripada 18 perlawanan. — Facebook/Sri Pahang

SRI Pahang FC mengalami kekalahan kedua berturut-turut di laman sendiri apabila tewas kepada Kuala Lumpur City (KL City) FC 0-2 dalam saingan Liga Super yang berlangsung di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang pada Ahad.

Jaringan Muhammad Haqimi Azim pada minit ke-31 dan kapten skuad The City Boys, Zhafri Yahya pada minit ke-72 berjaya memastikan kemenangan skuad pelawat.

Kecewa dengan keputusan akhir perlawanan itu, penyokong Sri Pahang berasa skuad di bawah kendalian Datuk Dollah Salleh itu seperti tidak memanfaatkan cuti yang panjang dengan sebaiknya.

Mana tidaknya, kali terakhir Sri Pahang berjumpa pihak lawan ialah pada 21 Ogos lalu iaitu selepas tewas 1-2 di tangan Terengganu FC.

WhatsApp Image 2022-09-12 at 11.20.34 AM

Antara babak perlawanan antara Sri Pahang dan KL City. — Facebook Sri Pahang

Penyokong Tok Gajah, Arriez Eiz’One Syah mempersoalkan latihan yang dijalankan oleh Sri Pahang dalam tempoh percutian itu sehingga tidak boleh mencetak sebarang jaringan.

“Cuti panjang buat apa...Sepanjang cuti dua minggu latihan dan perlawanan persahabatan berapa kali yang pemain buat? Ini cuti hampir sebulan, jadi apa rancangan.

“Sekurang-kurangnya seminggu, latihan buatlah tiga atau empat kali. Perlawanan persahabatan sekurang-kurangnya sekali untuk kekalkan fitness,” tulisnya.

Malah, dia juga menyuarakan sikap pengurusan yang mensia-siakan bakat pemain muda seperti Hasnul Zaim Zafri.

“Apa ini pihak pengurusan, pemain muda macam Hasnul peram kenapa.... kiri kanan dah tahu lemah kenapa guna taktikal 3-5-2.

“Sekurang-kurangnya main la 5-3-2 atau 4-4-2... pasukan kejurulatihan tak kaji taktikal lawan ke... menang ke kalah kaji lah,” tambahnya.

WhatsApp Image 2022-09-12 at 11.20.20 AM

KL City memalukan Pahang di laman sendiri. — Facebook/Sri Pahang

Sementara itu, Dollah ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berasa pengalaman dan keadaan padang becak antara faktor kekalahan Sri Pahang kepada KL City.

Menurutnya, faktor itu menyebabkan anak buahnya tidak dapat beraksi dengan baik hingga membenarkan lawan membawa pulang tiga mata.

Kekalahan itu menyaksikan skuad Tok Gajah kekal berada di kedudukan ketujuh Liga Super dengan mengutip 21 mata daripada 18 perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram