Muncul penjaring terbanyak tempatan Liga Perdana, penyerang JDT II ada misi peribadi musim depan


  • Podium
  • Ahad, 02 Okt 2022

JDT II dinobatkan sebagai juara Liga Perdana 2022. — Facebook/JDT II

JUARA Liga Perdana 2022, Johor Darul Takzim II (JDT II) bukan sahaja menjadi satu memori indah kepada penyerang muda, Daryl Sham malah lebih bermakna dia juga berjaya muncul penjaring terbanyak Liga Perdana bagi kategori pemain tempatan bersama Nurshamil Abd Ghani (Kelantan FC) dengan sembilan gol.

Menurut Daryl, dia tidak sama sekali menyangka musim ini menjadi detik terbaik dalam kariernya ketika berasakan masih banyak lagi perkara perlu dipelajari selaku pemain muda.

Bagaimanapun, apa yang lebih penting buat Daryl ialah jaringan-jaringannya itu membantu kejuaraan buat pasukan malah semangat berpasukan yang tinggi turut membantu kepada kejayaan JDT II merangkul gelaran Liga Perdana buat pertama kali sejak musim 2014.

“Saya sangat gembira kerana Liga Perdana ini merupakan kejuaraan pertama saya di peringkat senior dan memenanginya, satu pencapaian yang sangat bermakna dalam kerjaya.

“Tambahan musim ini saya telah berjaya menjaringkan sembilan gol (penjaring terbanyak bagi pemain tempatan Liga Perdana), ini juga satu kejayaan yang tidak disangka-sangka dan sangat besar kerana saya ini pemain muda yang baharu hendak belajar.

“Namun, apa lebih penting adalah kejuaraan yang kita menangi ini sebenarnya merupakan kerjasama semua pemain dari awal musim lagi dan tidak pernah cepat putus asa.

“Untuk musim depan, saya harap boleh lagi menyinar dengan pasukan serta mendapatkan minit permainan yang banyak,” katanya seperti dilaporkan MFL.

DARYL

Daryl muncul penjaring terbanyak Liga Perdana bagi kategori pemain tempatan bersama Nurshamil. — Facebook/JDT II

Malah dia turut meledak satu jaringan pada aksi terakhir berdepan Selangor FC II di Stadium UiTM Shah Alam bagi membantu kemenangan 1-0 dan seterusnya memastikan kedudukan mereka di tangga teratas tidak terjejas melalui pungutan 42 mata.

Sementara itu, ketua pasukan yang juga penjaga gol JDT II, Mohd. Izham Tarmizi, berasa kagum dengan komitmen serta semangat yang ditunjukkan pemain-pemain muda yang menjadi salah satu kunci utama di sebalik kejayaan pasukan.

Tambahnya, sikap terbuka menerima arahan serta teguran selain pengalaman yang diraih semasa mewakili pasukan kebangsaan bagi kejohanan bawah umur turut membantu kepada kecemerlangan JDT II.

“Pertama sekali, saya mahu ucapkan tahniah kepada pemain-pemain muda yang telah berikan segalanya dan sentiasa mengikut arahan walaupun ada yang turun serta naik prestasi mereka namun berikan komitmen sepenuhnya.

IZHAM

Izham Tarmizi meraikan kejayaan bersama penyokong. — Facebook/JDT II

“Dari 2014 hingga sekarang, ini merupakan kejuaraan pertama buat saya dan JDT II, kami memang layak memenangi kejuaraan jika prestasi kami dinilai secara keseluruhan.

“Tambahan pemain-pemain muda di sini banyak beraksi mewakili pasukan negara untuk kejohanan bawah umur dan pengalaman dari luar itu dibawa ketika bersama JDT II.

“Tidak dilupakan, kata-kata motivasi dari TMJ (Tengku Mahkota Johor) yang sentiasa menjadi tonik kepada pemain-pemain JDT,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram