PEMAIN pertahanan kelab Kuala Lumpur City (KL City) FC, Kamal Azizi adalah nama yang tidak asing lagi dalam arena bola sepak tanah air.
Pemain berumur 28 tahun itu tampil beraksi 18 perlawanan dan memberikan persembahan yang semakin mantap.
Berketinggian 172 sentimeter, pemain itu memulakan kariernya bersama pasukan Terengganu FC II pada 2017.
Sejak itu, dia yang turut dikenali dengan nama Ayah tidak lagi menoleh ke belakang apabila terus mengorak langkah dalam industri bola sepak tempatan.
Selepas satu musim bersama skuad simpanan, Kamal berjaya dibawa ke dalam skuad senior Sang Penyu pada 2018 yang juga dilihat membuka ruang kepadanya untuk menunjukkan prestasi cemerlang di atas padang dalam menggalas tugas menyekat serangan daripada sayap kiri lawan.
Pada perlawanan skuad The City Boys menentang Penang FC pada Sabtu, ketangkasan dan aksi cemerlang pemain Kamal semakin meniti bibir peminat. — Facebook / KLCITYFC
Malah, ketika bersama pasukan berpengkalan di Pantai Timur itu, Kamal sering kali diturunkan sebagai kesebelasan utama.
Bersama Terengganu FC juga, Kamal mempamerkan aksi yang cemerlang sebagai pemain pertahanan pada aksi separuh akhir Piala Malaysia 2018 menentang Johor Darul Takzim (JDT) sekali gus meleburkan impian skuad Harimau Selatan untuk untuk mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia pada ketika itu.
Pada perlawanan skuad The City Boys menentang Penang FC pada Sabtu, ketangkasan dan aksi cemerlang pemain kelahiran Terengganu itu semakin meniti bibir peminat.
Walaupun KL City FC kalah 0 -1 pada Penang FC, namun corak permainan yang dipamerkan Kamal menjadi buah mulut para penyokong.
Dia juga dilihat agresif sekali gus memberi tekanan yang tinggi kepada pemain lawan.
Pemain yang terkenal dengan aksi keras dan ketangkasan mengemudi benteng pertahanan itu dilihat sudah mula menjadi sebutan penyokong-penyokong di skuad Harimau Kumbang.
Bukan itu sahaja, kelebihan Kamal yang mampu bermain dalam pelbagai posisi seperti right-back, centre-back dan right-midfield pastinya akan memberikan saingan pada pasukan lawan sekiranya diberi peluang bermain bersama Penang FC.
"Naik seriau (takut) tengok dia ni main semalam, tengok right-back Penang main lagilah berderau.
"Musim depan mai (datang) Penang noh, mamu bawa pi (pergi) (restoran nasi kandar) Sulaiman," kata laman Facebook penyokong Penang Brotherhood.
Salah seorang penyokong, Bagan Power memuji prestasi yang ditunjukkan Kamal sepanjang kariernya.
"Dia ini bagus. Masa bersama dengan Terengganu dulu pun power," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram