PENGHIJRAHAN Nafuzi Zain sama ada ke Selangor FC atau Kedah Darul Aman FC (KDA FC) bakal membuat kerugian besar pada skuad Sang Penyu kerana perpindahan ketua jurulatih Terengganu FC itu berkemungkinan akan disertai pakej tiga bintang utama pemain kelab tersebut.
Walaupun hanya sekadar khabar angin namun sekiranya ia benar-benar berlaku, skuad Hitam Putih itu akan berhadapan dengan masalah besar.
Ini kerana permergian Nafuzi sendiri akan membawa bersama bintang-bintang TFC yang dibentuk dan dilatih dengan acuan bola sepak modennya.
Kontrak Faisal bersama Terengganu FC bakal tamat musim — Facebook/ Terengganu FC
Antara tiga pemain yang akan mengikut jejak langkah jurulatih berasal dari Kelantan itu ialah Faisal Halim, Rahadiazli Rahalim dan Azam Azmi.
Tiga pemain itu antara pemain yang membawa pasukan TFC ke pusingan akhir Piala FA 2022. Kehilangan mereka dalam pasukan pasti akan menjejaskan keseluruhan aspek termasuk corak permainan.
Pemain-pemain lain juga akan sukar mencari keserasian. Contohnya gandingan Kipre Tchetche dan Faisal Halim yang sering membuahkan hasil setiap kali perlawanan.
Rahadiazli di bawah bimbingan Nafuzi semakin menempa nama sebagai antara penjaga gol pelapis terbaik. — Facebook/ Terengganu FC
Untuk rekod, kontrak Faisal bersama Terengganu FC bakal tamat musim ini dan belum ada kata putus lagi dari pihak pengurusan skuad Sang Penyu untuk menyambung kontraknya lagi pada musim depan.
Selain itu, Rahadiazli di bawah bimbingan Nafuzi semakin menempa nama sebagai antara penjaga gol pelapis terbaik hingga terpilih dalam skuad kebangsaan untuk menghadapi kejohanan Piala Raja Thai di Chiang Mai, Thailand bermula 22 September ini.
Azam Azmi sering mendapat kepercayaan Nafuzi untuk bermain dalam kesebelasan utama. — Facebook/ Terengganu FC
Bagi karier pemain pertahanan kanan TFC, Azam Azmi dilihat semakin berkembang dalam industri bola sepak tanah air kerana kerap diturunkan dalam kesebelasan utama.
Pemain berusia 21 tahun ini juga merupakan antara tonggak skuad kebangsaan bawah 23 tahun (B23).
Ketiadaan pemain-pemain sebegini akan menyukarkan Terengganu pada musim depan apatah lagi pada musim ini pasukan itu mampu menyaingi kelab-kelab lain dalam Liga Malaysia untuk berada selesa di kedudukan keempat selepas Johor Darul Takzim (JDT), Sabah FC, Negeri Sembilan FC (NSFC).
Untuk rekod skuad Sang Penyu mengumpul 32 mata sepanjang 18 perlawanan pada aksi Liga Super musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram