Bintang import Kedah kena 'warning' ikut perangai Mo Salah


  • Podium
  • Rabu, 21 Sep 2022

Sikap Al-Mardi (atas) yang sedikit tamak semasa perlawanan membuat peminat berasa kurang senang.— Gambar Facebook Kedah Darul Aman FC

KEDATANGAN Mahmoud Nayef Ahmad Mardi ke dalam skuad Kedah Darul Aman FC (KDA FC) melengkapkan senarai lima pemain import pada jendela perpindahan kedua musim Liga Super musim ini.

Pemenang Piala AFC pada 2021 bersama kelab Bahrain, Al-Muharraq ini mampu menjaringkan gol dari sudut sukar selain mencipta hantaran berkualiti yang sememangnya satu kelebihan buat Sang Kenari.

Lebih dikenali dengan nama Al-Mardi, pemain kebangsaan Jordan itu dibawa masuk secara pinjaman bagi membantu pasukan kendalian Aidil Sharin Sahak dalam mengharungi saingan Piala AFC dan baki perjalanan Liga Super.

Walaupun peminat menyifatkan Al-Mardi mempunyai reputasi sebagai seorang pemain hebat yang mempunyai ketajaman dalam menjaringkan gol, namun sikapnya yang sedikit tamak membuat peminat berasa kurang senang.

307855396_508978274396861_7728152231900118200_n

Al-Mardi melengkapkan senarai lima pemain import pada jendela perpindahan kedua musim Liga Super musim ini. — Gambar Facebook Kedah Darul Aman FC

Salah seorang peminat setia skuad Helang Merah, Fiekrie Dek Ee menggelar Al-Mardi sebagai Mo Salah ekoran tabiatnya yang terlalu tamak dan bertindak sendirian ketika ingin menjaringkan gol ke gawang lawan.

"Kadang-kadang, Mardi terlalu Mo Salah Kedah,"

"Dia terlalu try hard sangat. Sampai bola boleh passing pada rakan sepasukan tapi dia tak buat," tulisnya.

Pendapat Fiekrie itu turut dipersetujui Irham Hilmi kerana Al-Mardi mempunyai kelebihan tersendiri.

"Dia padu dan laju tetapi tamak. Dia kena buang sifat tamak dia," katanya.

Seorang lagi peminat, Syam Nadzri turut berharap agar Al-Mardi tidak terus bersikap tamak yang boleh merugikan pasukannya.

"Pesan pada dia, jangan tamak sangat. Kalau pasukan lain ada peluang untuk menjaringkan gol bagi sahaja. Gol atau tidak, belakang cerita," tulisnya.

Bagaimanapun, peminat akan terlepas menyaksikan rentak permainan Al-Mardi ketika bertemu PJ City FC 1 Oktober nanti akibat tiga kad kuning yang dilayangkan kepadanya pada perlawanan-perlawanan liga sebelum ini.

Pemain berusia 28 tahun itu dijangka kembali disenaraikan dalam skuad utama ketika menerima kunjungan Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Darul Aman dalam perlawanan ke-19 mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram