BAGI menambah baik arena sukan bola sepak Malaysia, pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada Ahad.
Dalam satu hantaran rasmi kelab JDT, JOHOR Southern Tigers, pertemuan Tunku Ismail bersama RMS yang juga Pengerusi Selangor FC bagi membincangkan mengenai cara untuk menambah baik bola sepak Malaysia.
"Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) dan pegawai Kelab Bola Sepak Johor Darul Takzim mengadakan satu perjumpaan dengan delegasi Selangor FC yang diketuai Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafudin Idris Shah Alhaj, Raja Muda Selangor di Kuala Lumpur.
"Kedua-dua kelab saling berkongsi idea berkaitan cara untuk menambah baik liga Malaysia, pembangunan belia dan bola sepak secara keseluruhan. Tujuan perjumpaan ini juga adalah untuk mengeratkan hubungan antara Johor dan Selangor. Luaskan Kuasamu Johor," tulisnya.
TMJ dan RMS dilihat saling berkongsi idea berkaitan cara untuk menambah baik liga Malaysia. — FB/JOHORSouthernTigers
Perjumpaan ini sekali gus membuktikan keazaman kedua-dua pasukan menambah baik prestasi di dalam dan luar padang selain menampilkan visi dan misi untuk membawa kelab ke tahap yang lebih tinggi.
Selain itu, perkara ini pastinya membawa kepercayaan kepada penyokong The Red Giants yang berpuas hati dengan pencapaian JDT sepanjang berada di bawah pemilikan TMJ.
Pasukan yang terpaksa akur di kedudukan kesembilan Liga Super, sudah lama mendahagakan kejayaan apabila kemarau trofi mereka sudah berlanjutan buat tujuh tahun ketika ini.
Tidak cukup dengan itu, mereka juga pasti cemburu apabila Harimau Selatan baru sahaja menambah koleksi kejuaraan dengan menundukkan Terengganu FC (TFC) dalam final Piala FA 2022.
Hal ini juga sememangnya membawa kepada kesedaran di kalangan penyokong fanatik kedua-dua pasukan berkenaan yang tidak henti-henti bertelagah sesama sendiri di media sosial dan setiap kali pertemuan di atas padang.
Bagi Arbain Zainal, pertemuan dua individu penting itu seakan membawa sinar baharu bagi arena bola sepak negara yang pastinya mencari jalan penyelesaian untuk meningkatkan lagi pentas dan kualiti sukan.
"Bukankah bagus kalau begini, bersemuka dan bersama-sama mencari jalan penyelesaian. Biar sama-sama naik, boleh main Liga Asia.
"Naikkan ranking bola Malaysia. kenapa perlu bergaduh? Harap Kedah akan buat perkara yang sama. Bersama-sama naikkan kedudukan negara," tulisnya.
RRoy Rz pula berharap agar perjumpaan itu menjadi permulaan kepada satu kerjasama yang mampu dimanfaatkan semua pihak dalam meningkatkan kualiti bola sepak tanah air.
"Saya harap perjumpaan boleh membawa kepada pendamaian penyokong kedua-dua belah pihak supaya mutu bola sepak Malaysia lagi bertambah maju,"katanya.
Selain itu, Velo Noc pula berkata, hanya penyokong yang bertelagah sesama sendiri apabila pemilik kelab masing-masing berada dalam hubungan yang baik sehingga membolehkan perbincangan sebegitu.
"Bos elok saja, penyokong pula yang terlebih sudu," sindirnya.
Hantaran itu turut disertakan beberapa keping gambar yang memaparkan detik-detik perbincangan TMJ bersama RMS sambil disertai wakil kelab masing-masing. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram