'Tolong jangan lari,' Sang Penyu enggan menangis lagi


  • Podium
  • Khamis, 15 Sep 2022

Kelibat Faisal Halim di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin menggembirakan penyokong San Penyu. — Facebook/Terengganu FC

SELEPAS bermusim-musim menempatkan nama sebagai salah satu pasukan pencabar liga, Terengganu FC sekali lagi menunjukkan keupayaan mereka apabila beraksi dengan cemerlang.

Dengan 10 kemenangan daripada 18 perlawanan, tidak menjadi satu kejutan buat skuad Sang Penyu yang ketika ini berada di tangga keempat Liga Super.

Selain itu, pasukan itu juga berhasil untuk mara ke perlawanan akhir Piala FA selepas menempuh segala cabaran dalam usaha menjulang sebuah trofi selepas kali terakhir mengecap kejayaan pada 2011.

Perkara itu pastinya ialah hasil daripada pendekatan dan pemahaman taktikal ketua jurulatih, Nafuzi Zain yang mengenal pasti kebolehan dan kelebihan pemain di bawah kendaliannya.

Di samping kehadiran bintang import yang berkualiti, pemain tempatan dengan kebolehan mengujakan juga antara kunci kepada pengendali itu untuk menampilkan persembahan bersemangat.

Antaranya, pemain sayap kanan, Faisal Halim yang tidak asing lagi dalam kalangan penyokong setelah hampir dua tahun menabur bakti bersama pasukan Pantai Timur itu.

306630225_1548138112283531_6754411090618885320_n

Faisal Halim berjaya menjaringkan gol pertama ketika membenam Penang FC. Facebook/Terengganu FC

Susuk tubuh yang kecil ditambah pula dengan kelincahan untuk memperdayakan pihak lawan merupakan salah satu aset utama Faisal untuk menempatkan namanya sebagai salah seorang penyerang paling berbisa dalam Liga M.

Pengalamannya bersama pasukan kebangsaan juga membolehkan Nafuzi memberi sepenuh kepercayaan kepada pemain berusia 24 tahun ini yang kelihatannya membuahkan hasil.

Tujuh gol yang dijaringkan serta lapan bantuan gol yang dicipta membuktikan bahawa Faisal merupakan salah seorang pemain sayap yang paling berbisa ketika ini.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila beberapa pasukan Liga Super mula menunjukkan minat bagi mendapatkan khidmat bintang kelahiran Penang itu bagi jangka masa panjang.

Hal itu pastinya tidak boleh diterima penyokong yang tidak sanggup untuk kehilangan bekas pemain Sri Pahang FC itu berikutan sumbangan dan personalitinya yang sukar untuk dicari penggantinya.

Dalam pertembungan bersama Penang FC pada Rabu malam, Faisal sekali lagi menampilkan persembahan bersinar apabila berjaya menjaringkan satu gol hasil hantaran daripada Petrus Shitembi.

Bagi penyokong Sang Penyu, sumbangan itu pastinya dirindui sekiranya pemain berjersi no. 7 itu memilih keputusan untuk berhijrah dalam jendela perpindahan akan datang.

306618244_621198859675713_1574645057506717400_n

Kain rentang daripada penyokong yang tidak mahu kehilangan Faisal Halim. Facebook/Urus Setia Penerangan Darul Iman

Dalam satu hantaran di Facebook We Bleed Black & White, sekeping foto dimuat naik selepas perlawanan itu yang memaparkan sehelai kain rentang yang dipamerkan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

"Kepada Faisal Halim, ini adalah harapan kami sebagai peminat Terengganu FC kepada anda. "Mickey, tolong jangan lari dan tolonglah kekal bersama TFC," katanya.

Namun, segelintir penyokong melihat segala keputusan yang dibuat pemain sayap itu adalah lebih wajar untuk dihormati meskipun tidak sanggup kehilangan permata itu.

Mil Syuk berkata, perpindahan pemain merupakan satu rencah dalam arena bola sepak dan pemergiaan seseorang pemain tidak boleh dihalang sekiranya dia sudah berhasrat untuk mencari angin baharu.

"Hormatilah segala keputusan dibuat Faisal Halim kerana dalam dunia bola sepak, kita sememangnya tidak boleh lari untuk melihat pemain pasukan berhijrah," katanya.

Bagi Mat Jenin pula, perhatian pihak pengurusan sepatutnya diberikan kepada kemajuan pasukan secara menyeluruh kerana ia merupakan elemen paling penting berbanding keberadaan seseorang pemain.

"Jika kita harap sekali pun, dia mungkin akan pergi. Jadi, adalah lebih baik untuk kita mengharapkan supaya Terengganu FC semakin maju musim depan," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram