Sergio Aguero lebih layak berbanding Lee Tuck


  • Podium
  • Jumaat, 16 Sep 2022

Sergio dan Lee Tuck kini telah rasmi menjadi pemain naturalisasi. — Sri Pahang FC

PENYERANG tengah Sri Pahang, Sergio Aguero mengambil kesempatan bersempena Hari Malaysia untuk mengumumkan bahawa dia kini telah sah memiliki status sebagai warganegara Malaysia.

Pemain kelahiran Argentina itu berkongsi perasaan bangga mengenai status terbaharunya dan berterima kasih dengan sokongan yang diterima menerusi muat naik status di laman Instagram miliknya.

“Satu penghormatan untuk saya menjadi rakyat Malaysia. Saya di sini kerana sokongan orang di sekeliling saya, tanpa mereka, saya tidak akan berada di tempat saya berada.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pemilik Sri Pahang, Tengku Abdul Rahman Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah kerana membantu proses ini.

“Dan juga terima kasih kepada Pengerusi Sri Pahang, Raja Datuk Shaharuddin Shah Raja Jalil Shah, Ketua Pegawai Eksekutif Sri Pahang FC Datuk Mohammed Suffian Awang, isteri saya Evangelina serta anak-anak, Valentino dan Milan, ejen Syed, staf Sri Pahang FC dan semua penyokong di luar sana.

“Kuantan adalah tempat yang istimewa untuk saya serta keluarga dan saya berhasrat untuk tinggal lama di sini. Saya jatuh hati dengan makanan, masyarakat yang sangat baik dan paling penting saya menemui ketenangan di sini bersama keluarga.

Tangkap layar muat naik Sergio pada Jumaat.

“Tiada perkataan bagi menggambarkan betapa gembiranya saya dan tidak sabar untuk menyarung jersi emas dan biru dalam Piala Malaysia,” jelas Aguero.

Melihat kepada perkembangan tersebut, rata-rata penyokong tempatan menyatakan mereka berharap Sergio akan terpilih menyertai pasukan Harimau Malaya berbanding rakan sepasukannya, Lee Tuck.

Ini kerana usia Sergio lebih muda enam tahun berbanding Lee Tuck yang kini telah berusia 34 tahun.

Muhammad Yusri menerusi ruang Facebook menulis: " Berbanding Lee Tuck, dia ini kira baguslah. Umur tak tua sangat. Baru 28 tahun.

"Dah alang-alang dapat kad pengenalan, bagilah dia pakai jersi Harimau Malaya," kata Zairul Nizam.

Awe terbang menambah: "Umur muda macam ini, oklah sikit. Ini Lee Tuck yang dah nak pencen diambilnya.

"Better (lebih baik) lagi kot Aguero ni dari Lee Tuck. Muda pun untuk main Harimau Malaya nanti. Kalau Lee Tuck tu risau macam De Paula sahaja nanti," kata Rawlison Amy.

Sebelum ini, pemain tengah Sri Pahang, Lee Tuck turut mengesahkan bahawa dia mendapat taraf kewarganegaraan Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram