‘Ada call tanya’ — MFL respons kemungkinan Penang beraksi Piala Malaysia


  • Podium
  • Khamis, 22 Sep 2022

Penang FC masih menunggu sama ada slot terakhir untuk TM Piala Malaysia 2022 bakal menjadi milik mereka ataupun tidak. — Facebook/Penang FC

SELEPAS pihak Persatuan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan bahawa Melaka United FC (MUFC) tidak dibenarkan untuk beraksi TM Piala Malaysia 2022, dua lagi kelab yakni Perak FC dan Penang FC dikhabarkan berpeluang mengisi slot berkenaan.

Peluang itu dibuka selepas skuad Hang Tuah gagal pihak pengurusan Melaka tidak melunaskan bayaran gaji mengikut tarikh yang ditetapkan.

Dengan format yang digariskan oleh pihak MFL iaitu 11 pasukan Liga Super dan lima lagi wakil dari Liga Perdana tanpa melibatkan skuad simpanan, pasti membuka ruang untuk Perak menyertai TM Piala Malaysia.

melaka 23

Pemain Melaka United kempunan beraksi di pentas Piala Malaysia musim ini. — Facebook MUFC

Oleh itu, tidak menimbulkan sebarang persoalan apabila pihak pengurusan skuad Harimau Kumbang cuba mengintai slot tersebut bagi membolehkan mereka merebut peluang itu dari Perak FC.

Difahamkan, pihak pengurusan Penang FC sudah menghantar surat kepada persatuan itu dengan menyatakan sebab skuad itu lebih layak mendapatkan slot TM Piala Malaysia berbanding pasukan Seladang.

Pada masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam mengesahkan bahawa pihaknya menerima panggilan daripada Penang FC mengenai hajat mereka itu.

Namun, pihak MFL difahamkan belum menerima sebarang surat yang dikatakan dihantar oleh pengurusan Penang FC itu.

Bagaimanapun, Stuart menegaskan bahawa keputusan mengenai slot kejohanan berkenaan akan dibincangkan bersama ahli lembaga MFL dalam masa terdekat ini.

“Pulau Pinang menghubungi saya untuk bertanyakan kemungkinan slot ke Piala Malaysia.

“Perkara ini akan diputuskan oleh Lembaga Pengarah MFL dalam beberapa hari akan datang,” katanya kepada Majoriti.

zainal

Harimau Kumbang kini berada pada kedudukan tercorot Liga Super. — Facebook/Penang FC

Dalam pada itu, sumber memberitahu Majoriti, difahamkan antara yang dikemukakan oleh skuad Harimau Kumbang ialah pasukan berkenaan terbukti berjaya mengurus menurut kehendak undang-undang pelesenan khasnya bab gaji dan kebajikan berbanding Perak.

Selain itu, apabila berjaya melayakkan diri ke pusingan separuh akhir Piala FA dengan mengalahkan Perak FC dan Sri Pahang juga menjadi alasan kukuh mereka untuk mendapatkan slot kejohanan tersebut.

“Kelab walaupun berada di kedudukan tercorot, tidak berada dalam zon penyingkiran, dan masih ada baki empat perlawanan lagi.

“Jumlah gol dan bolos berbanding pasukan di tempat ke-11 Liga Super juga perlu diambil kira. Berbanding Perak, bergelut dengan kedudukan semasa yang boleh menolak mereka ke Liga M3. Harap MFL lihat dalam aspek ini,” tegas sumber terbabit.

Terdahulu dalam kenyataan MFL pada Rabu, pasukan yang bakal mengisi kekosongan itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Majoriti sedang menghubungi ketua jurulatih Penang FC, Datuk Zainal Abidin Hassan berhubung permohonan slot Piala Malaysia itu. —Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram