TIADA angin, tiada ribut tiba-tiba nama penjaga gol Sri Pahang FC, Mamadou Samassa dikatakan akan kembali semula ke Eropah selepas kontraknya bersama skuad Tok Gajah tamat pada musim ini.
Penjaga gol tinggi lampai dari Mali itu menyertai Liga Malaysia dengan menandatangani kontrak bersama Sri Pahang FC dari kelab Greece, APO Levadiakos FC pada awal musim ini.
Laman Facebook penyokong Panthera Tigris Jacksoni berkongsi satu posting yang mengatakan seorang penjaga gol Liga Eropah UEFA yang kini beraksi di Liga Malaysia akan dibawa pulang ke Benua Biru pada musim depan.
"Rumours yang bertiup kencang di Kuantan melaporkan terdapat ejen dari Eropah sudah menghubungi penjaga gol UEFA Europa League untuk membawa pulang pemain tersebut ke benua Eropah pada musim hadapan.
"Dengan persekitaran bola sepak dunia hampir kembali kepada sedia kala tentunya kelab-kelab Eropah kini sudah kembali bernafas dan mampu berbelanja untuk mendapatkan pemain baharu.
"Apapun terima kasih Sri Pahang kerana membawa kualiti bola sepak Eropah ke Liga Malaysia," tulis posting itu pada Sabtu.
Bersama skuad Tok Gajah, pemain berketinggian 1.98 meter itu membuat 17 penampilan dengan mengumpul sebanyak 1,530 minit permainan.
Daripada kesemua aksi itu, Samassa dibolosi sebanyak 26 kali sementara mencatatkan tiga clean sheets dalam pasukan yang sedikit bergelut di pertengahan carta liga dengan jumlah 21 mata.
Dengan prestasi yang ditunjukkan, mungkin Sri Pahang FC tidak berminat untuk menyambung kontrak pemain berusia 32 tahun itu pada musim depan.
Berikut merupakan tiga penjaga gol boleh dipertimbangkan untuk menggantikan Samassa.
Rahadiazli merupakan antara penjaga gol tertinggi dalam Liga Malaysia. — Facebook
1) Rahadiazli Rahalim (Terengganu FC)
Pemain berusia 20 tahun yang kini bermain dengan Terengganu FC itu antara calon yang sesuai menggantikan Samassa memandangkan mereka memiliki ketinggian hampir sama.
Dilahirkan di Kuala Terengganu, Rahadiazli yang lebih mesra dipanggil 'Abey' berketinggian 1.92 meter, menjadikannya antara penjaga gol tertinggi dalam Liga Malaysia.
Meskipun masih muda, Rahadiazli menunjukkan disiplin serta komitmen yang tinggi dalam permainannya selain sentiasa mendapat kepercayaan jurulatih, Nafuzi Zain untuk diturunkan dalam kesebelasan utama termasuk semasa bertemu Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi final Piala FA.
Kontrak Abey bersama TFC akan tamat pada akhir musim ini.
Kalamullah menunjukkan karakter terbaik sebelum beraksi bersama skuad kebangsaan untuk mencabar kedudukan utama posisi penjaga gol negara. — Facebook
2) Kalamullah Al-Hafiz (PJ City)
Penjaga gol utama PJ City itu berketinggian 1.78 meter. Berusia 27 tahun, Kalamullah menunjukkan karakter terbaik sebelum beraksi bersama skuad kebangsaan untuk mencabar kedudukan utama posisi penjaga gol negara.
Dia akan bersaing bersama-sama dua lagi penjaga gol berpotensi negara iaitu Syihan Hazmi dan Rahadiazli bagi menghadapi kejohanan Piala Raja Thailand (King’s Cup) bertemu tuan rumah, Thailand pada 22 September.
Seperti Rahadiazli, kontrak anak jati Kelantan bersama PJ City juga akan tamat pada 30 November depan.
Penjaga gol Sang Kenari itu mencuri tumpuan dengan aksi mantap di pentas Asia. — Facebook
3) Shahrel Saari (Kedah Darul Aman FC)
Penjaga gol berpengalaman itu merupakan penjaga gol skuad Kedah Darul Aman FC. Berusia 32 tahun dan memiliki ketinggian 1.78 meter, penjaga gol Sang Kenari itu mencuri tumpuan dengan aksi mantap di pentas Asia.
Kecederaan yang dialami Ifwat Akmal memberi peluang kepada Shahrel untuk beraksi cemerlang meskipun sudah tidak diberikan peluang bersama pasukan.
Shahrel merekodkan tiga kali tanpa bolos menerusi tujuh penampilannya pada musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram