KESILAPAN pemain tengah kebangsaan, Nor Azam Azih yang mengutip dua kad kuning sebelum dilayangkan kad merah pada perlawanan menentang Thailand dalam aksi Piala Raja Thai tidak harus diperbesarkan.
Dalam perlawanan terbabit, perancang Sri Pahang itu diperintahkan keluar padang selepas menerjah pemain lawan, Suphanat Mueanta di luar kotak penalti ketika minit akhir masa kecederaan.
Thailand yang mendapatkan sepakan percuma tersebut berjaya mengambil kesempatan dan menjadikan kedudukan 1-1 menerusi tandukan Pansa Hemviboon, sebelum kemenangan akhirnya berpihak kepada Malaysia yang menang menerusi penentuan sepakan penalti 5-3.
Azam Azih (kanan) teruk dikecam peminat bola sepak kerana dituduh menjadi punca Harimau Malaya gagal mengutip mata ranking lebih baik ketika berdepan Thailand pada Khamis — Facebook/FAM
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh berkata, dilayangkan kad dalam perlawanan adalah adat perlawanan.
"Kita tidak seharusnya menyalahkan pemain tersebut kerana bola sepak ini merupakan permainan berpasukan.
"Mungkin Azam Azih ada melakukan kesilapan namun tidak perlulah sampai mengeluarkan kata-kata kurang enak kepada tonggak Sri Pahang FC tersebut.
"Sepatutnya, kita memberi sokongan kepada dia kerana mengeluarkan kudrat untuk membawa nama negara ke persada dunia," katanya kepada Majoriti.
Subkhiddin Mohd Salleh
Tambah Subkhiddin, netizen juga harus lebih 'waras' dan faham undang-undang bola sepak.
"Kita tidak boleh mengawal mulut orang namun netizen ini seolah-olah menyalahkan pemain itu seperti mereka tidak berjasa kepada negara.
"Bermain bola sepak itu nampak mudah namun banyak perkara yang harus diambil kira. Daripada terus menyalahkan, netizen perlu terus memberi sokongan kepada pemain itu.
"Sudah menjadi adat permainan, menang atau kalah, menerima kad atas kesalahan dalam padang. Semua orang melakukan kesilapan namun kita sebagai orang luar seharusnya terima dan hormat bola sepak. 'Just enjoy the game'," katanya.
Subkhiddin turut memberitahu, pemain itu sendiri juga harus menjadikan kejadian kad merah tersebut sebagai pengajaran dan belajar dari kesilapan.
"Pasukan dan pemain itu sendiri harus kaji balik kesilapan yang dilakukan ketika perlawanan bagi memastikan ia tidak berulang.
"Perkara sudah berlalu, ambil iktibar dan jadikan pengajaran pada masa hadapan," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram