STATUS bekas pengadil FIFA, Subkhiddin Mohd Salleh di media sosial Facebook rasminya pada Jumaat menimbulkan 1,001 persoalan sehingga mendapat perhatian netizen.
Hantaran yang berbunyi "mulut dia 'fitnah', mulut orang 'jannah' tak begitu Tuanku" menjadi topik hangat diperkatakan orang ramai ketika ini.
Antara persoalan yang timbul ialah untuk siapa hantaran itu ditujukan dan apakah isu yang dimaksudkan sehingga bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tersebut membuat hantaran seumpama itu.
Ada yang mendakwa Subkhiddin membuat hantaran itu terhadap pemilik kelab Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim, namun beliau segera menafikan perkara itu.
Sebaliknya, jelas beliau, hantaran terbabit ditujukan kepada semua individu bermula daripada ahli politik sehingga ke peringkat tertinggi.
"Segalanya (hantaran) bermula apabila saya melihat senario politik pada hari ini yang tiada kesudahan. Ahli politik mula meluahkan hujah-hujah dan bercakap seperti tidak pernah salah.
"Ramai yang menganggap saya menujukan hantaran tersebut terhadap pemilik kelab Bola Sepak Johor JDT (TMJ) namun ia tidak betul, sebaliknya hantaran itu ditujukan kepada semua," katanya kepada Majoriti.
Hantaran Subkhiddin Mohd Salleh di Facebook pada Jumaat
Terdahulu, spekulasi itu timbul dalam kalangan peminat bola sepak sejurus selepas TMJ mengadakan sesi soal-jawab bersama peminat JDT baru-baru ini.
Menjelaskan secara terperinci, Subkhiddin berkata, perkataan 'mulut dia 'fitnah', mulut orang 'jannah' itu merujuk kepada pemimpin politik yang sering menyalahkan orang lain dan setiap ayat yang keluar adalah betul.
"Sementara perkataan 'Tuanku' itu pula merujuk kepada umum dan bukan kepada kerabat diraja. Mungkin ramai yang beranggapan begitu selepas saya menggunakan perkataan tersebut namun ia lebih merujuk kepada Tuan, Ku.
"Bagi mengelakkan kekeliruan, hantaran ini ditujukan kepada semua individu dan segalanya bermula selepas saya melihat senario politik pada waktu ini yang sering menyalahkan orang lain. Siapa yang makan cili, dialah terasa pedas," jelasnya.
Jelas Subkhiddin, individu yang berada 'di atas' tidak seharusnya mudah menyalahkan orang 'di bawah' dan mereka juga harus lebih berhati-hati dalam percakapan.
"Fikir dan kenang kembali apa yang mereka sampaikan dulu, mereka juga pernah melakukan kesalahan. Ia umpama meludah ke langit. Zaman ini bercakap perlukan bukti dan fakta.
"Jangan mudah melatah dengan hantaran saya dan tidak perlu 'koyak', ia merujuk kepada senario ahli politik yang semakin 'gian' memberi hujah menjelang Pilihan Raya Umum tidak lama lagi," katanya.
Ketika ditanya sama ada statusnya itu ditujukan kepada Menteri Besar Kedah yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Subkhiddin sekali lagi menjelaskan status itu bersifat umum dan tidak ditujukan khusus buat mana-mana pihak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram