Kapten Maguire pasti tinggalkan Old Trafford musim depan, tegas legenda United


  • Podium
  • Khamis, 22 Sep 2022

Prestasi tidak memberangsangkan memaksa Maguire kekal memanaskan bangku simpanan dalam beberapa perlawanan terakhir United. — Agensi

BEKAS pertahanan Manchester United, Rio Ferdinand percaya pengurus, Erik Ten Hag dan pihak pengurus akan membenarkan kapten mereka, Harry Maguire untuk meninggalkan kelab itu pada jendela perpindahan musim panas akan datang.

Maguire, yang masih memegang gelaran pemain pertahanan paling mahal itu mengalami kesukaran untuk diturunkan musim ini apabila Ten Hag lebih gemar menggunakan duo Raphael Varane dan Lisandro Martinez mengemudi benteng pertahanan United.

Oleh itu, Ferdinand, ketika bercakap dalam satu program bual bicara percaya pemain berusia 29 tahun itu tidak akan teragak-agak untuk dilepaskan sekiranya ada tawaran.

"Sekiranya ada kelab yang berminat, saya rasa Ten Hag akan melepaskannya untuk pergi. Dalam pada itu, saya pun rasa Maguire juga mahu meninggalkan The Red Devils kerana dia tidak berminat lagi di situ.

"Mengikut pengalaman saya, ramai yang tidak kisah sekiranya mereka kekal dalam pasukan dan tidak bermain, tetapi pemain itu bukanlah dalam golongan itu," katanya.

16605580365248

Ferdinand percaya Maguire akan meninggalkan pasukan itu jendela perpindahan musim panas 2023. Agensi

Sejak dimalukan 0-4 di tangan Brentford, Maguire tidak lagi diturunkan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) bagi memberi laluan kepada dua tonggak baharu itu.

Namun, baru-baru ini, pemain antarabangsa England itu tampil dalam kesebelasan utama United ketika bertemu Real Sociedad dalam saingan Liga Eropah UEFA (UEL) dengan wakil Sepanyol itu melakar kemenangan.

Perkara itu sekali lagi menjadi asbab kepada kekurangan minit permainan Maguire apabila Varane dan Martinez diturunkan ketika menang 2-0 ke atas Sheriff Tiraspol selepas itu.

Selain itu, Ferdinand berkata, satu sesi perbualan di antara kedua-dua pihak akan dilakukan untuk mencari kata putus yang akan memberi kelegaan kepada mereka.

"Dia cukup berminat untuk mendapatkan minit-minit permainan dan Maguire pasti akan bertemu Ten Hag dengan mengadakan sesi perbualan terbuka," katanya.

Dalam masa sama, Maguire juga telah dipilih pengurus Three Lions, Gareth Southgate untuk menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Itali dan Jerman.

Tetapi, Ferdinand percaya pemilihan itu adalah tidak tepat kerana pemain AC Milan, Fikayo Tomori lebih sesuai apabila Maguire sudah tidak bermain secara kerap sejak kebelakangan ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram